Ceroboh tadika alasan mahu beri anak roti

Lelaki warga Bangladesh (dalam bulatan) yang menceroboh sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Selangor pada Jumaat ditahan polis pada dua hari kemudian.
Lelaki warga Bangladesh (dalam bulatan) yang menceroboh sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Selangor pada Jumaat ditahan polis pada dua hari kemudian.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga Bangladesh disyaki mengalami masalah mental ditahan di Telok Panglima Garang di sini, selepas menceroboh tadika dan cuba mendekati kanak-kanak dengan memberi roti, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi, suspek dikatakan telah menceroboh tadika terbabit dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya.

"Apabila guru tadika itu memberitahu ibu bapa tidak dibenarkan masuk, suspek bertindak merampas topi keledar pelajar tadika yang dipegang oleh guru sebelum meluru masuk ke dalam kelas.

"Ibu bapa yang menyedari kejadian itu bertindak menahan lelaki berkenaan dan semasa tangkapan dibuat, suspek tidak berhenti membacakan ayat Al-Quran sebelum dia dilepaskan oleh orang awam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek tiada mengeluarkan kata ugutan serta tidak mendatangkan kecederaan kepada sesiapa malah pihak tadika juga tidak menerima kemasukan pelajar warga asing.

Katanya, bertindak hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menahan suspek berusia 23 tahun di Taman Pahlawan, Telok Panglima Garang, kira-kira jam 10.30 malam, pada Ahad.

Tambahnya, semasa tangkapan dibuat, suspek gagal memberikan dokumen pengenalan diri.

"Siasatan awal mengesyaki suspek mempunyai masalah mental dan tiada anak suspek berada di tadika berkenaan. Ujian saringan air kencing terhadapnya juga negatif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Ahmad Ridhwan, suspek yang tidak bekerja itu kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad, tular di media sosial Facebook satu video berdurasi satu minit memaparkan seorang lelaki yang menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Banting.