Pejuang persoal istilah lompat parti dalam draf RUU Anti Lompat Parti

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempersoal istilah ahli Parlimen yang dikategorikan sebagai melompat parti seperti terkandung dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, mengikut draf berkenaan, seseorang ahli Parlimen yang telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikira sebagai melompat parti.

Menurutnya, timbul kebimbangan dalam kalangan enam ahli Parlimen Pejuang berhubung perkara itu kerana mereka sebelum ini dipecat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana enggan menuruti tindakan parti itu keluar dari gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan gabungan baharu, Perikatan Nasional (PN).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan tiga istilah lompat parti, ini termasuk wakil rakyat yang menang kerusi Parlimen boleh dianggap melompat parti jika dipecat dari partinya.

“Ini boleh berlaku jika wakil rakyat itu enggan mengikut tindakan partinya untuk melompat dari satu gabungan ke satu gabungan lain. Wakil rakyat tersebut dianggap lompat parti walaupun sebenarnya yang melompat dan mengkhianati mandat rakyat adalah partinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, berdasarkan draf rang undang-undang berkenaan, wakil rakyat tersebut perlu mengosongkan kerusinya dan pilihan raya perlu diadakan bagi memilih wakil baharu.

“Perlu diamati apa yang berlaku kepada enam ahli Parlimen yang dipecat oleh Bersatu itu. Adakah adil untuk dianggap yang melompat parti itu adalah enam ahli Parlimen tersebut, bukannya parti yang mereka wakili?

“Tidakkah enam individu itu yang sebenarnya setia kepada mandat rakyat yang memilih mereka melalui Pilihan Raya Umum? Tidakkah sebenarnya Bersatu yang khianati mandat rakyat dengan keluar dari PH?” soal beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agak menghairankan apabila pihak yang setia pula yang dihukum dan bukan yang mengkhianati.

“Ini antara persoalan yang akan kami bangkitkan dalam perbahasan di Sidang Khas Parlimen. Draf ini akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan pada 11 April depan.

“Secara umumnya kami bersetuju dengan cadangan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat perlu dibendung. Ini penting kerana kebelakangan ini tindakan itu dilakukan untuk tujuan menjatuhkan sebuah kerajaan yang ditubuhkan setelah mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya,” katanya.

Mukhriz turut mendakwa ada dalam kalangan wakil rakyat yang lompat parti mendapat habuan seperti jawatan eksekutif kerajaan, jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi kerajaan mahupun sogokan wang.

“Aspek ini juga perlu diberikan perhatian,” ujarnya.

Pada 30 Mac, Wan Junaidi memaklumkan, tiga perkara utama mengistilahkan seseorang ahli Parlimen melompat parti ialah apabila seorang ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli bebas atau menyertai parti politik lain.

Ini termasuk ahli Parlimen yang telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti serta ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti.

Menurut Wan Junaidi lagi, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif.