Terengganu Inc peruntuk RM70,000 laksana CSR sepanjang Ramadan

Burhanuddin Hilmi (kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di hadapan Masjid Abidin pada Ahad.
Burhanuddin Hilmi (kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di hadapan Masjid Abidin pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) memperuntukkan RM70,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang bulan Ramadan ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, antara program CSR itu adalah agihan bubur lambuk, sumbangan dan bakul makanan kepada asnaf serta majlis iftar meraikan keluarga kurang berkemampuan.

“Ini merupakan antara usaha syarikat untuk mendekati masyarakat pelbagai peringkat khususnya mereka yang memerlukan. Kita percaya program CSR dilaksanakan Terengganu Inc mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk di hadapan Masjid Abidin di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Burhanuddin Hilmi berkata, program agihan bubur lambuk merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc bersama 15 anak-anak syarikat kumpulan yang diadakan sejak 2017 bersama warga masjid dan penduduk sekitarnya.

Beliau berkata, pada Ramadan kali ini, sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk percuma diagihkan kepada orang ramai selama tiga hari bermula Ahad.

"Kami harap, acara tahunan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan membeli juadah atau tidak berkesempatan menyediakan makanan berbuka puasa menikmati makanan sinonim dengan bulan puasa ini.

"Semoga langkah ini mengekalkan amalan pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid sekali gus dapat menyuburkan jalinan kerjasama dan ikatan silaturahim antara kumpulan Terengganu Inc sendiri dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Artikel Berkaitan: