Permintaan acar limau meningkat 10 kali ganda semasa Ramadan

Nor Aini menunjukkan acar limau yang sudah ditempah dan sudah sedia untuk diagihkan kepada pelanggannya.
Nor Aini menunjukkan acar limau yang sudah ditempah dan sudah sedia untuk diagihkan kepada pelanggannya.
A
A
A

YAN - Permintaan kepada makanan pembuka selera seperti acar limau di utara antara yang meningkat menjelang Ramadan berbanding bulan-bulan lain.

Pengusaha acar limau, Nor Aini Md Azmi, 50, dari Kampung Sungai Limau Dalam, dekat sini ketika ditemui berkata, tempahan yang diterima meningkat sehingga 10 kali ganda.

Menurutnya, bulan Ramadan menjadi 'lubuk rezeki' kepada pengusaha makanan sepertinya malah sudah menerima tempahan dua minggu lebih awal dan suami, Mohd Abdul Rahman, 71, sentiasa membantu menyiapkan tempahan.

"Pada mulanya, saya memasak untuk keluarga sahaja untuk kenduri. Saya belajar resipi ini daripada ibu saudara, Som Zakaria, 84, dan Intan Kecik, 73.

"Resipi ini kemudian diolah dengan menggunakan manisan atau gula kerek dari Terengganu. Acar menjadi kurang manis, enak dan warna acar menjadi lebih cantik serta menarik," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Nor Aini berkata, perniagaan ini mula diusahakan sejak 2017 dengan menggunakan jenama Acar Limau Aini Azmi dan tidak menyangka akan mendapat sambutan menggalakkan serta menerima tempahan hampir dari seluruh negara.

Jelasnya, antara resipi utama yang perlu diberikan perhatian adalah mengeluarkan rasa masam dan pahit buah limau yang perlu mengambil masa kira-kira seminggu.

Artikel Berkaitan:

Nor Aini (kiri) bersama suaminya, Mohd mengacau acar limau yang perlu dimasak sekitar dua jam di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan.
Nor Aini (kiri) bersama suaminya, Mohd mengacau acar limau yang perlu dimasak sekitar dua jam di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan.

"Buah limau antara perkara asas yang yang difokuskan. Dalam tempoh seminggu diperlukan untuk mengeluarkan airnya dengan cara merebusnya iaitu sebanyak tiga kali sehari.

"Antara bahan lain yang dimasukkan ke dalam acar ini adalah buah ceri, asam masin, belimbing buluh, kurma dan kismis," katanya.

Menurutnya, tempahan diambil terlebih dahulu bagi menyiapkan bahan asas sebelum dimasak dan sekitar 200 hingga 300 bekas disiapkan pada setiap bulan.

"Namun bagi bulan Ramadan memang tempahan yang diterima meningkat mendadak sehingga 10 kali ganda iaitu sekitar lebih 2,000 bekas acar limau dan tempahan memang sudah diterima sebelum Ramadan lagi.

"Proses membuat acar memang dilakukan oleh saya dibantu suami dari awal sehingga siap prosesnya.

"Harga jualan sebekas 200 gram dijual pada harga RM5 satu, manakala acar limau seberat satu kilogram dijual pada harga Rm25," katanya yang turut mengiklankan di Facebook.