Pemandu maut, dua lori bertembung

Keadaan dua lori yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran simpang Berchang pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM
Keadaan dua lori yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran simpang Berchang pada Sabtu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang pemandu maut manakala seorang lagi pemandu cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 18, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran simpang Berchang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, kemalangan melibatkan lori jenis Nissan Rigid dan Scania.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat daripada pihak hospital pada jam 4.30 petang pada Sabtu iaitu pemandu lori Nissan, Sulaiman Sabtu, 59, dari Taman Bakti, Padang Tengku di sini meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis.

"Hasil siasatan awal dan saksi bebas mendapati, lori Nissan dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Merapoh

"Apabila sampai di tempat kejadian iaitu di simpang tiga Berchang, lori Nissan yang dipandu mangsa telah mengelak sebuah pacuan empat roda jenis Hilux yang telah keluar dari simpang.

"Ia menyebabkan lori itu memasuki lorong bertentangan sehingga berlaku kemalangan dengan lori Scania yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, pemandu Scania berusia 44 tahun mengalami kecederaan ringan di leher manakala pemandu Nissan yang parah meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

"Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memberitahu kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan selain mengambil sampel darah kedua-dua pemandu untuk ujian toksikologi.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.