Malaysia harap kuota haji segera diputuskan

Idris
Idris
A
A
A

BUKIT GANTANG - Kerajaan berharap akan mendapat keputusan kuota haji secepat mungkin bagi memudahkan persiapan awal jemaah haji Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, keputusan itu perlu bagi memudahkan Lembaga Tabung Haji (TH) membuat persiapan menempah penginapan (hotel) dan pengangkutan kepada jemaah.

"Kerajaan memahami kekangan yang dihadapi kerajaan Arab Saudi ekoran pandemik Covid-19 dan ini semua berlaku di luar kemampuan kita. Kita berdoa agar mendapat kuota haji yang lebih tahun ini.

"Lagipun Arab Saudi baru sahaja membenarkan jemaah umrah ke Makkah dan setakat ini, kita (Tabung Haji) akan memberikan keutamaan kepada jemaah yang telah disenaraikan tahun 2020 dan 2021 untuk menunaikan haji pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid, surau, pondok, sekolah tahfiz, Sekolah agama Rakyat (SAR) Persendirian dan Rumah Anak Yatim Parlimen Bukit Gantang di sini pada Sabtu.

Idris berkata, beliau menasihatkan jemaah haji yang disenaraikan supaya bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menunaikan haji.

"Kita berdoa kepada ALLAH Taala supaya mendapat kuota yang lebih tahun ini dan kita tidak berikan tekanan,” katanya.

Malaysia mendapat 32,000 kuota haji sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, tiada isu yang akan dibincangkan dalam pertemuan antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, ia hanya perjumpaan biasa yang lazim dilakukan oleh pemimpin Pas.

Jumaat lalu, Abdul Hadi mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir tidak lama lagi.

Menurutnya, Pas bersedia bekerjasama dengan dengan mana-mana parti yang tidak ekstrem dan liberal untuk menyatukan ummah.

Abdul Hadi menjadi pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) kedua untuk berjumpa bekas Perdana Menteri itu selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan Tun Mahathir kira-kira dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berhubung kemungkinan kerjasama untuk Pilihan Raya Umum ke-15.

Mengulas adakah perjumpaan Muhyiddin dan Tun Mahathir mewakili PN dan telah dibincangkan terlebih dahulu di peringkat PN, Idris berkata, beliau tidak maklum mengenai perkara tersebut kerana tidak terlibat dalam pimpinan tertinggi gabungan itu. - Bernama