Will Smith lepaskan keahlian Akademi Seni dan Sains Filem

Will Smith - Foto Reuters
Will Smith - Foto Reuters
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELEPAS kontroversi menampar pelawak Chris Rock, Will Smith akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan keahlian Akademi Seni dan Sains Filem.

Portal The Hollywood Reporter melaporkan perkara berkenaan, pada petang Jumaat.

“Saya telah memberi maklum balas secara langsung kepada notis pendengaran tatatertib Akademi dan saya akan menerima sepenuhnya apa-apa dan semua akibat ke atas kelakuan saya.

"Tindakan saya pada penyampaian Anugerah Akademi ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan.

“Senarai mereka yang saya sakiti adalah panjang termasuk Chris, keluarganya, ramai rakan dan orang tersayang saya, semua yang hadir, dan penonton global di rumah,” kata Smith.

Menurut kenyataan yang dipetik portal hiburan antarabangsa, Smith bersedia menerima sebarang akibat yang difikirkan sesuai oleh The Academy.

“Saya mengkhianati kepercayaan Akademi. Saya menafikan calon dan pemenang lain peluang mereka untuk meraikan dan diraikan kerana kerja luar biasa mereka.

“Saya patah hati. Saya ingin kembali menumpukan perhatian kepada mereka yang patut diberi perhatian atas pencapaian mereka dan membenarkan Akademi untuk kembali kepada kerja luar biasa yang dilakukannya untuk menyokong kreativiti dan kesenian dalam filem,” katanya.

Artikel Berkaitan:

The Academy sebelum ini berkata, ahli lembaga sedang berbincang tentang langkah yang akan dikenakan terhadap Smith termasuk sama ada menggantung, mengusir atau mengharamkan keahliannya.

Smith juga diberikan masa 15 hari oleh The Academy untuk menyatakan surat tunjuk sebab atas tindakannya yang disifatkan satu keganasan. - Awani