Bekalan pasport cukup untuk hadapi peningkatan permohonan: Hamzah

Hamzah (kanan) bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan ke kilang pembuatan pasport Malaysia antarabangsa ketika di Kilang DataSonic Sdn Bhd pada Jumaat. - Foto Bernama
Hamzah (kanan) bercakap pada sidang media selepas membuat lawatan ke kilang pembuatan pasport Malaysia antarabangsa ketika di Kilang DataSonic Sdn Bhd pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bekalan pasport antarabangsa di dalam simpanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) adalah mencukupi bagi menghadapi peningkatan permohonan susulan pembukaan sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat hari ini imigresen mempunyai bekalan pasport antarabangsa sebanyak 330,000 untuk digunakan bagi permohonan baharu atau pembaharuan dokumen berkenaan oleh orang ramai.

Beliau berkata, sekiranya jumlah itu tidak mencukupi syarikat Datasonic Manufacturing Sdn Bhd yang dipertanggungjawab membuat pasport antarabangsa mempunyai 600,000 unit dokumen berkenaan dalam simpanan mereka.

"Jumlah ini mencukupi untuk tempoh enam bulan akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat ke kilang berkenaan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, bagi tujuan permohonan baharu dan pembaharuan pasport, orang ramai digalakkan memohon secara dalam talian bagi mengelak kesesakan di kaunter imigresen, selain memastikan cukup masa memohon bekalan pasport baharu daripada pembekal sekiranya kehabisan stok di pejabat.

Sementara itu Hamzah berkata, pasport antarabangsa Malaysia kini mempunyai ciri keselamatan baharu yang direka oleh rakyat tempatan bagi memastikan ia tidak boleh ditiru oleh mana-mana sindiket pemalsuan pasport antarabangsa.

"Selepas dua tahun sempadan negara ditutup, ia merupakan masa yang sesuai untuk ciri keselamatan baharu diperkenalkan," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran pelancong asing berikutan pembukaan sempadan negara mulai pada Jumaat, beliau berkata, semua agensi penguat kuasa undang-undang di bawah kementeriannya telah bersiap sedia bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana perbuatan menyalahi undang-undang sama ada dilakukan oleh warga asing atau rakyat tempatan," katanya. - Bernama