Beri pemain lebih masa berlatih bersama Pan Gon

Kim Pan Gon. - Foto Bernama
Kim Pan Gon. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Ketua Jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya berpandangan barisan pemain negara perlu diberi peluang menjalani latihan bersama untuk tempoh lebih lama, dalam persediaan menghadapi sebarang kejohanan utama.

Ia kerana menurut bekas pemain skuad kebangsaan itu, skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon menunjukkan perubahan positif, meskipun hanya berlatih selama 10 hari sebelum bersaing pada Siri-Tiga Negara FAS di Singapura bulan lepas.

"Saya percaya jika banyak diberikan masa, kita (pemerhati dan peminat) akan lihat potensi skuad kebangsaan akan lebih tinggi, dan menepati cita rasa kita selama ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini, di sini.

Skuad bimbingan Pan Gon berjaya menambat hati sebahagian besar peminat tempatan dengan pendekatan permainan baharu yang lebih agresif, ketika menentang Filipina dan Singapura pada saingan Siri Tiga-Negara FAS.

Pasukan negara memulakan era baharu di bawah ketua jurulatih dari Korea Selatan itu dengan cemerlang, apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Filipina, namun tidak berjaya meneruskan momentum kemenangan selepas tewas 1-2 di tangan Singapura.

Bagaimanapun, rata-rata peminat dan pemerhati bola sepak tempatan seakan boleh menerima kekalahan di tangan republik itu, apabila pasukan negara berjaya menampilkan persembahan terpuji terutama dari aspek pendekatan taktikal permainan.

Perubahan positif itu turut diakui Rezal yang menyifatkan gaya permainan pasukan negara kini lebih menarik.

"Kita dapat lihat barisan pemain negara tampil dengan corak permainan yang baharu, lebih kepada ‘high pressing’, jadi itu menampakkan banyak elemen positif ditonjolkan pemain,” katanya.

Mengulas mengenai ketegasan Pan Gon dan tahap disiplin tinggi yang dituntut daripada barisan pemain, Rezal berkata ia merupakan elemen penting untuk membina sebuah pasukan mantap.

Artikel Berkaitan:

Katanya apa yang mustahak barisan pemain dilihat dapat menuruti arahan Pan Gon, dan ia dibuktikan dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan dalam dua aksi persahabatan di Singapura.

"Saya rasa pendekatan ini perlu diteruskan. Kim Pan Gon tahu apa dia nak buat dan paling penting di penghujungnya keputusan positif untuk skuad kebangsaan,” kata Rezal.

Pasukan negara bakal berdepan tugas getir dalam melaksanakan misi layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kejohanan itu, yang dijadual berlangsung di sini pada Jun ini. - Bernama