Ramadan tak jejas kedatangan pelancong ke Malaysia

Beberapa pelancong berjalan melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam di sini setelah sempadan negara dibuka secara rasminya pada Jumaat.
Beberapa pelancong berjalan melepasi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam di sini setelah sempadan negara dibuka secara rasminya pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Tourism Malaysia yakin jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia tidak terjejas walaupun pembukaan sempadan negara hampir dengan Ramadan yang akan disambut pada Ahad depan.

Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, ini kerana elemen yang ada dalam bulan mulia itu boleh digunakan untuk menarik pelancong seperti yang dilaksanakan dalam tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, antara aktiviti yang boleh menarik pelancong ke Malaysia adalah pakej berbuka puasa beramai-ramai.

"Kita boleh gunakan Ramadan ini sebagai salah satu elemen mempromosikan pelancongan di negara ini. Jadi saya tak nampak ada halangan untuk pelancong hadir ke sini ketika Ramadan.

"Namun disebabkan sempadan kita baru dibuka, kita akan tengoklah dulu bagaimana trend kemasukan pelancong itu nanti," katanya ketika melakukan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan serta Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, Tourism Malaysia akan terus memantau keadaan dan tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula sasaran kemasukan dua juta pelancong ke Malaysia tahun ini.

"Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri menyasarkan kedatangan kira-kira dua juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM8.6 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi dalam keadaan sekarang, jadual penerbangan pun masih belum kembali kepada asal. Kita tengok dalam sebulan dua ini atau beberapa bulan lagi sebelum buat sasaran baharu, jika diperlukan," katanya.

Ammar menambah, Tourism Malaysia ketika ini sudah pun melancarkan pelan pemasaran di pejabat-pejabat agensi itu di luar negara.

"Kita dah aturkan beberapa program untuk capai sasaran ini dan perkara tersebut telah disampaikan kepada pihak industri.

"Jadi bila kita adakan promosi di luar negara, pemain industri perlu bersedia menerima pelancong yang datang ke negara ini nanti," katanya.