Pemandu van mengaku tidak bersalah sebabkan kematian kanak-kanak

Tertuduh (dua, kanan) diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada Jumaat.
Tertuduh (dua, kanan) diiringi anggota polis sebaik tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan kesalahan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazree Uzir, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan pengabaian dengan meninggalkan kanak-kanak dalam jagaan serta kawalan tertuduh di dalam sebuah van jenis Kia Pergio milik tertuduh sehingga mendatangkan kematian ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah van di hadapan sebuah rumah di Jalan Nusari Bayu, Taman Nusari Bayu 2, Bandar Seri Sendayan pada 12 Oktober 2021 antara jam 2.45 petang sehingga 5.30 petang.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili Peguam Noliana Ali Othman dalam rayuannya memohon wang jaminan terhadapnya dikurangkan berikutan perlu menyara seorang isteri dan dua anaknya selain hilang pendapatan susulan kes berkenaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh dilarang mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung.

Artikel Berkaitan:

Kes seterusnya disebut semula pada 9 Mei depan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan autisme ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam di dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan di sini, pada 12 Oktober tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran sepatutnya dihantar ke pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut.

Bagaimanapun, pemandu van terbabit pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam vannya.