X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kos haji: Kerajaan jamin bantu jemaah muassasah yang layak

Idris ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menter Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Idris Ahmad bagaimanapun berkata, kos, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat.

"Pengumuman mengenainya akan dimuktamadkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan TH.

"Termasuk keadaan kos-kos semasa berkaitan haji serta makluman-makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

"Buat masa ini juga, kerajaan Malaysia dan Tabung Haji masih menunggu kenyataan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai kuota haji yang bakal diberikan kepada kita," katanya ketika sesi pemberitahuan pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat pada Khamis.

Idris menjelaskan, sebelum ini kos untuk seorang jemaah muassasah menunaikan haji telah meningkat 139 peratus daripada RM9,578 seorang pada tahun 2001 kepada RM22,900 seorang pada 2019.

Katanya, kenaikan tersebut disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan seperti kadar inflasi, pergerakan kadar mata wang asing dan pengenalan caj dan percukaian baharu seperti Value Added Tax termasuk projek pembangunan semula Kota Suci Makkah dan Madinah.

"Walaupun kos haji semakin bertambah, jemaah haji muassasah hanya membayar RM9,980 seorang untuk menunaikan ibadat haji dan bayaran haji ini tidak pernah berubah sejak 2009. Perbezaan jumlah ini ditanggung sepenuhnya oleh TH.

"Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, TH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak,"katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!