Penulis lirik Lelaki Teragung, Rudy Imran meninggal dunia

Penulis lirik, Rudy Imran disahkan meninggal dunia, pada pagi Khamis akibat kanser usus.
Penulis lirik, Rudy Imran disahkan meninggal dunia, pada pagi Khamis akibat kanser usus.
A
A
A

PENULIS lirik lagu Lelaki Teragung, Iman Imran atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsuddin disahkan meninggal dunia, pada pagi Khamis.

Allahyarham yang merupakan bekas wartawan hiburan sebuah akhbar berbahasa Melayu itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 47 tahun di kediamannya di Semenyih, Selangor akibat kanser usus sejak beberapa tahun lalu.

Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan sendiri rakan serumah arwah pagi Khamis.

Difahamkan, Allahyarham baru sahaja dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Isnin lalu selepas menerima rawatan lanjutan kanser.

Ketika hayatnya, Allahyarham cukup disegani sebagai antara wartawan hiburan tanah air yang turut berkecimpung dalam penulisan lirik.

Antara karya yang memasyhurkan nama Allahyarham ialah lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah dan karya itu dinobatkan sebagai Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-31 pada 2017.

Sepanjang hayatnya, Rudy yang merupakan bekas wartawan hiburan itu memulakan karier penulisan di beberapa majalah dan akhbar Melayu termasuk VariaPop, akhbar Watan, majalah Hai (Utusan Karya) dan terakhir di akhbar Metro.

Selepas menyambung pengajian peringkat peringkat ijazah di UiTM dan Universiti Sains Malaysia (sarjana), Allahyarham sebenarnya dalam proses melengkapkan pengajian Doktor Falsafah (PhD), namun tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

Beliau memulakan karier sebagai wartawan majalah hiburan Variapop pada awal 1994 sebelum berhijrah ke akhbar Watan yang beribu pejabat di Taman Setiawangsa di sini.

Allahyarham Rudy kemudiannya ditawarkan berkhidmat di Kumpulan Karangkraf yang kini dikenali sebagai Kumpulan Media Karangkraf sebelum berpindah ke syarikat media Utusan Melayu.

Kerjayanya sebagai wartawan berakhir di akhbar Harian Metro.

Ketika berkhidmat di Harian Metro, Allahyarham Rudy juga pernah mengambil cuti belajar bagi meneruskan hasratnya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM).