Lingam gagal dalam rayuan untuk kembali jadi pengamal undang-undang

Lingam
Lingam
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Datuk V K Lingam yang terlibat dalam rakaman video kontroversi berhubung pelantikan hakim-hakim, gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk kembali menjalankan amalan guaman.

Ini susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada Rabu yang menolak rayuan Lingam terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam yang mengeluarkan namanya daripada senarai peguam bela dan peguam cara disebabkan salah laku berhubung video tersebut.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, tidak dipertikaikan bahawa jawatankuasa tatatertib, lembaga tatatertib, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuat penemuan yang sama bahawa Lingam campur tangan dengan pelantikan hakim-hakim.

Beliau berkata, peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Majlis Peguam berhujah bahawa Lingam tidak dapat menyanggah kenyataan Loh Gwo Burne yang mendengarnya (Lingam) cuba campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim.

"Tidak kira pelantikan hakim mana yang sebenarnya cuba dicampur tangan oleh perayu (Lingam) yang penemuannya sehingga ke tahap itu tidak relevan," katanya sambil menambah bahawa perkara penting ialah penemuan dibuat mengenai percubaannya untuk campur tangan dan penemuan tersebut tidak disangkal.

Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Lingam membayar kos RM30,000.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun berkata, terdapat juga bukti langsung daripada Gwo Burne yang menyaksikan sendiri Lingam bercakap melalui telefon seperti yang didakwa dalam klip video tersebut.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati bahawa Gwo Burne memberi keterangan mengenai video itu dan mengesahkan kandungan video tersebut sebenarnya disebut oleh Lingam, yang nama sebenarnya Kanagalingam Vellupillai.

"Jawatankuasa tatatertib, lembaga tatatertib dan mahkamah di bawah bergantung kepada keterangan Gwo Burne untuk mengesahkan kandungan yang menjadi asas kepada penemuan salah laku,” katanya sambil menambah bahawa Lingam tidak mencabar perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Peguam R Thayalan yang mewakili Lingam sebelum ini berhujah berhubung kebolehterimaan klip video yang digunakan untuk membuktikan salah laku anak guamnya.

Beliau berkata, rakaman video asal tidak dibuat di hadapan jawatankuasa tatatertib atau kepada lembaga tatatertib sebaliknya dikemukakan salinan yang dimuat turun.

Tengku Maimun berkata, adalah mandatori bagi lembaga tatatertib mematuhi keperluan Seksyen 103D(1) Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1974 yang dipinda yang memerlukannya menyatakan alasannya menolak syor jawatankuasa tatatertib untuk mengenakan hukuman yang lebih ringan ke atas Lingam.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat bersetuju dengan perayu (Lingam) bagaimana kegagalan mematuhi seksyen ini menyebabkan perintah lembaga tatatertib bertarikh 6 November 2015 terbatal dan alasannya perlu dinyatakan dalam perintah itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mendapati lembaga tatatertib telah memberikan alasan yang sewajarnya untuk keputusannya dan perintahnya untuk mengeluarkan Lingam daripada senarai bukanlah terbatal.

Nama Lingam dikeluarkan daripada senarai peguam bela dan peguam cara oleh lembaga tataterbit pada 6 November 2015.

Pada 22 Mei 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lingam untuk semakan kehakiman dan mengekalkan keputusan lembaga tatatertib. Peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Dakwaan terhadap Lingam berhubung rakaman video yang dibuat oleh Gwo Burne mengenai perbualan telefon antara Lingam dengan seorang individu yang kemudiannya didapati adalah Hakim Besar Malaya ketika itu Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diadakan pada 2008 berhubung klip video itu dan panel lima anggota RCI memutuskan video itu adalah tulen. - Bernama