Rizal diberi amaran keras

Rizal - Foto Sabah FC
Rizal - Foto Sabah FC
A
A
A

PEMAIN pertahanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali hanya diberi amaran oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan keengganannya melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac lalu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, selain amaran keras, pemain yang berasal dari Baling, Kedah itu turut diingatkan agar tidak mengulangi perkara sama dan lebih berhati-hati agar tidak dikenakan hukuman berat selepas ini.

"Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

"Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohd Rizal yang diletakkan dalam senarai bersedia dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon namun gagal menghadirkan diri ke sesi latihan itu.

Mohd Rizal dipanggil bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim, Mohd Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Berikutan keengganan Mohd Rizal untuk melapor diri, Pan-gon telah memanggil seorang lagi pemain dari senarai bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri pada 14 Mac lalu.

Artikel Berkaitan: