Perbaharui sistem perlindungan sosial negara: BNM

Malaysia perlu segera memperbaharui sistem perlindungan sosialnya bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan yang serius pada masa depan. Gambar hiasan
Malaysia perlu segera memperbaharui sistem perlindungan sosialnya bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan yang serius pada masa depan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu segera memperbaharui sistem perlindungan sosialnya bagi memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan yang serius pada masa depan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus membuat gesaan itu selepas data terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan bahawa kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dan dalam kalangan mereka 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000.

"Pandemik telah memberi peringatan kepada kita sekali lagi bahawa kita perlu melakukan pembaharuan dalam sistem perlindungan sosial kita dengan segera.

"Ia bukan suatu yang mudah, dan juga tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, tetapi ia perlu dimulakan sekarang,” katanya pada sidang media secara maya yang diadakan bersempena dengan pelancaran laporan tahunan 2021 BNM pada Rabu.

Nor Shamsiah berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kebenaran pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 baru-baru ini.

Menurutnya, memandangkan ekonomi sekarang sedang menunjukkan petanda pemulihan, rakyat perlu mula perlahan-lahan membina semula penampan kewangan mereka.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Jessica Chew berkata, meskipun bank pusat menyedari bahawa pengeluaran itu akan membantu ramai orang yang sedang bergelut untuk bangkit semula daripada pandemik dan bencana banjir baru-baru ini, namun angka daripada data KWSP itu adalah sangat membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, perlu ada dasar yang boleh bertindak balas bersekadar kepada situasi yang sedang dialami negara sekarang ini.

"Langkah-langkah seperti ini (pengeluaran KWSP) perlu digunakan dengan berhati-hati....sangat berhati-hati, dan hanya dalam situasi yang benar-benar genting,” katanya.

Sementara itu, gabenor berkata nisbah hutang, isi rumah berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) berada pada 89 peratus, lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura (69.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina (9.9 peratus).

"Kami sedang memantau rapat paras hutang tinggi itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya penambahbaikan dalam pasaran dan bantuan bersasar akan menyokong lagi kapasiti melunaskan hutang.

- Bernama