MBJB sedia 2,817 tapak perniagaan untuk bazar Ramadan, Aidilfitri

Sebanyak 2,817 tapak perniagaan bazar Ramadan dan Aidilfitri disediakan di 48 lokasi di Johor Bahru sempena Ramadan kali ini. - Gambar hiasan
Sebanyak 2,817 tapak perniagaan bazar Ramadan dan Aidilfitri disediakan di 48 lokasi di Johor Bahru sempena Ramadan kali ini. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan 2,817 tapak perniagaan melibatkan 48 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri sempena Ramadan kali ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, daripada jumlah tersebut, 44 bazar Ramadan dan empat lagi bazar Aidilfitri.

"Seramai 31 wakil penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri sudah diberi penerangan oleh Jabatan Pelesenan MBJB dan SW Corporation berkenaan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar.

"Peniaga diwajibkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna, memakai apron dan sarung tangan pakai buang sepanjang menyediakan juadah makanan, peniaga juga dilarang menggunakan bekas polisterin dan surat khabar untuk membungkus makanan," katanya berucap dalam mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini pada Rabu.

Antara lokasi bazar Ramadan itu di Jalan Padi Mahsuri 22 dan Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda serta Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir selain bazar Ramadan baharu iaitu di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru, Hutan Bandar.

Antara lokasi bazar Aidilfitri pula adalah di Tebing Dato' Onn dan juga TMIYC.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengunjung juga digalakkan membawa bekas makanan dan membungkus juadah berbuka puasa yang dibeli bagi menggalakkan budaya serta amalan rendah karbon.

Sementara itu, beliau berkata, MBJB bakal melaksana beberapa projek pengindahan membabitkan infrastruktur, kebersihan dan keselamatan sempena pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noorazam berkata, pembukaan sempadan itu akan memberi nafas baharu kepada sektor perniagaan dan ekonomi di Johor Bahru khususnya.

"MBJB juga akan menjalankan beberapa projek pengindahan di sekitar kawasan pusat bandar termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) dalam tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

"Antara projek itu termasuk menaik taraf dan pengindahan pintu masuk CIQ, jejambat di Jalan Lingkaran Dalam melalui penambahan pencahayaan, kerja mengecat, pemasangan skrin LED, kerja mural dan pengindahan landskap," katanya.

Projek pengindahan itu katanya, bakal menjadikan bandar raya Johor Bahru kembali ceria dan menjadi tarikan pelancong luar khususnya yang memasuki negara ini melalui CIQ.

Tambah Mohd. Noorazam, pihak berkuasa tempatan itu juga akan bekerjasama rapat dengan Tourism Johor untuk mempromosi dan menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

"Antara yang dipertimbangkan adalah untuk menyediakan perkhidmatan 'shuttle bus' di kawasan pusat bandar untuk mewujudkan mobiliti yang baik bagi kemudahan pelancong," katanya.