Struktur binaan di tanah rizab sungai dirobohkan

PTD Klang dengan kerjasama PBT merobohkan beberapa struktur binaan di kawasan tanah rizab sungai dan kawasan lapang di Jalan Lengkok Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran
PTD Klang dengan kerjasama PBT merobohkan beberapa struktur binaan di kawasan tanah rizab sungai dan kawasan lapang di Jalan Lengkok Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran
A
A
A

KLANG - Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan beberapa struktur binaan di kawasan tanah rizab sungai dan kawasan lapang di Jalan Lengkok Selatan, Taman Perindustrian Pandamaran di sini.

Operasi turut disertai Majlis Perbandaran Klang, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pegawai Daerah Klang, Mohd Faizal Abdul Raji dalam satu kenyataan berkata, operasi terbabit dilakukan berikutan aduan daripada JPS berhubung aktiviti pencerobohan tanah kerajaan di kawasan terbabit.

"Sebelum ini sekumpulan individu didapati mendirikan sebuah kuil, kandang kambing, bengkel dan stor serta depoh lori di atas tapak aduan dan struktur ini menghalang kerja-kerja penyelenggaraan sungai oleh JPS.

"Sehubungan itu, Notis Pencerobohan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara telah dikeluarkan kepada pemilik struktur-struktur tersebut pada 1 Julai 2021.

"Pemilik juga telah diberikan tempoh selama tiga bulan untuk mengosongkan tapak secara sukarela dan tempoh tersebut telah pun tamat," katanya dalam kenyataan itu kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengurusan kuil dan persatuan terbabit sekali lagi memohon untuk melanjutkan tempoh pengosongan tapak dan Pentadbir Tanah Klang telah bersetuju untuk memberikan lanjutan tempoh selama 14 hari.

"Pengusaha kandang kambing juga telah diberikan tempoh yang sama bagi membolehkan pengusaha memindahkan ternakan ke lokasi baharu di Pulau Carey.

Artikel Berkaitan:

"Wakil pengurusan dan persatuan serta pengusaha ternakan tersebut telah menandatangani akujanji untuk mematuhi arahan Pentadbir Tanah untuk mengosongkan tapak dalam tempoh 14 hari," katanya.