Hapuskan mentaliti 'putih itu cantik'

Hakikatnya, berkulit hitam atau putih itu bukan satu masalah, sebaliknya masalah sebenar adalah kecenderungan menilai seseorang melalui warna kulit. - Gambar hiasan 123RF
Hakikatnya, berkulit hitam atau putih itu bukan satu masalah, sebaliknya masalah sebenar adalah kecenderungan menilai seseorang melalui warna kulit. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

WALAUPUN kita kini di tahun 2022 tetapi masih lagi ada manusia yang menilai orang berdasarkan warna kulit.

Merak Jalanan terperanjat apabila sebuah portal berita melaporkan seorang ibu tergamak meninggalkan bayi yang baru dilahirkannya bersama neneknya dek kerana warna kulitnya gelap.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di negara ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman moden kerana majoriti rakyat telah terdedah dengan pelbagai jenis ilmu.

Namun, mentaliti rakyat ternyata masih terperangkap dengan pernyataan ‘putih itu cantik’ atau ‘hitam itu jelek’ menyebabkan ia menjadi masalah besar.

Merak Jalanan perhatikan masih terdapat segelintir rakyat yang memegang mentaliti tersebut sehingga menjejaskan keyakinan diri.

Hakikatnya, berkulit hitam atau putih itu bukan satu masalah, sebaliknya masalah sebenar adalah kecenderungan menilai seseorang melalui warna kulit.

Malah, Raja Pop Dunia, Michael Jackson (MJ) juga telah menekankan perkara itu menerusi lagu nyanyiannya Black or White yang diterbitkan pada 1991. Lagu yang dikarangnya itu jelas menentang isu ketidakadilan berpunca daripada warna kulit, sekali gus mengajak orang ramai supaya tidak melihat seseorang menerusi warna kulit.

Oleh itu, penting untuk kita menekankan perkara itu kepada generasi akan datang agar mereka tidak terperangkap sama dalam mentaliti yang tidak memberi manfaat. Ia langsung tidak menguntungkan sesiapa, malah boleh memporak-perandakan hubungan sesama manusia.

Artikel Berkaitan:

Bagi Merak Jalanan, warna kulit itu hanya identiti sesuatu bangsa sedangkan perkara sebenar yang perlu ditekankan tatkala menilai orang adalah melihat potensi dirinya seperti seperti adab, moral dan ilmu dimiliki.

Jika perkara itu tidak diberi perhatian, Merak Jalanan percaya kita akan kembali kepada era 1980-an dan 1990-an yang mana mereka berkulit gelap akan menjadi mangsa ejekan.