Prasarana siasat video tular kakitangannya pukul orang awam

Sedutan video lelaki memakai uniform Prasara memukul seorang lelaki yang tular di media sosial pada Selasa.
Sedutan video lelaki memakai uniform Prasara memukul seorang lelaki yang tular di media sosial pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan serta-merta terhadap video tular membabitkan kakitangannya yang memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka seperti tular di media sosial pada Selasa.

Prasarana menerusi satu kenyataan berkata, video berdurasi satu minit dua saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam Prasarana memukul seorang lelaki pada tarikh, masa dan lokasi yang belum dikenal pasti.

Menurut kenyataan itu, pihaknya memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai pada video berkenaan.

"Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut.

" Tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana.

"Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, siasatan dalaman telah dimulakan dan Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke suggest@rapidkl.com.my.

"Prasarana turut memohon maaf di atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang pada masa hadapan," ujar kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: