Balamurugan kecewa Fatin Ilyana tidak disenarai ke Sukan SEA

Balamurugan
Balamurugan
A
A
A

JURULATIH pecut negara, M Balamurugan kecewa dengan keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang tidak menyenaraikan Fatin Ilyana Mat Nayan ke Sukan SEA Hanoi pada Mei depan.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, atlet berusia 19 tahun itu layak berada dalam skuad 4x100m wanita apabila muncul antara empat pelari mencatatkan keputusan terbaik peribadi dengan larian 12.00 saat (s) ke bawah pada Kejohanan Kuala Lumpur (KL) Allcomers minggu lalu.

Menurut Balamurugan, berdasarkan catatan terbaik musim ini, Zaidatul Husniah Zulkifli, 29, mempunyai pencapaian terbaik dengan catatan 11.62s, diikuti dua atlet berusia 22 tahun - Nor Sarah Adi (11.89s) dan Azreen Nabila Alias (11.90s) serta Fatin Ilyana (11.97s).

"Fatin telah membuktikan kemampuannya dapat lari bawah 12.00s dan mampu mengatasi atlet senior, jadi tidak adil jika tidak menyenaraikan beliau. Kita bukannya menentang hantar atlet senior tetapi berdasarkan pencapaian semasa, Fatin lebih baik.

"Jadi kenapa tidak beri peluang kepada atlet muda untuk kebaikan masa depan? Kita juga perlu mempersiapkan atlet untuk Sukan SEA seterusnya di Kemboja tahun depan.

"Saya berharap KOM akan mempertimbangkan penyertaan untuk Fatin,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Selasa.

Balamurugan turut menekankan bahawa MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mahu memberikan peluang kepada atlet pelapis dan muda mendapatkan pendedahan di Sukan SEA Hanoi.

Pada masa ini, KOM menyenaraikan Zaidatul Husniah, Nor Sarah, Azreen Nabila, atlet berusia 33 tahun S Komalam Shally (12.012), Siti Fatimah Mohamad (12.019s) yang berusia 36 tahun dan Nur Aishah Rofina Aling (12.06s).

Artikel Berkaitan:

"Kami di sini sebagai jurulatih yang latih atlet, kami lihat proses dan prestasi atlet semakin meningkat. Sebab itu, pada mesyuarat pemilihan (9 Mac) sebelum hantar nama ke MOM, saya mencadangkan untuk mendaftarkan tujuh pelari pecut,” katanya. - Bernama