FGVIF dan Bernas berkolaborasi perkukuh industri beras wangi

Ronald (dua dari kanan) dan Nik Muhammad Zawawi (kanan) menyampaikan Anugerah Hasil Tertinggi Purata melebihi 5 hektar kepada Azaman Hassan.
Ronald (dua dari kanan) dan Nik Muhammad Zawawi (kanan) menyampaikan Anugerah Hasil Tertinggi Purata melebihi 5 hektar kepada Azaman Hassan.
A
A
A

TANJUNG KARANG - FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) telah menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan industri beras wangi negara.

Majlis menandatangani MoC yang berlangsung pada Selasa di Kilang Beras Bernas Seri Tiram Jaya, di sini turut disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Pada majlis itu juga, Ronald melancarkan Beras Wangi SAJI Aroma, khusus dari ladang SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Perak dan Selangor.

Ronald dalam ucapannya berkata, kolaborasi strategik antara dua syarikat peneraju di bawah Program SMART SBB Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu adalah julung kali diadakan.

“MAFI telah dan sedang melaksanakan program SMART SBB yang disertai oleh syarikat-syarikat peneraju yang berminat untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi secara berperingkat menerusi pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak, sewaan perkhidmatan dan sebagainya.

“Penyertaan pesawah dalam program ini adalah secara sukarela dan tiada sebarang bentuk paksaan. Kadar Tahap Sara Diri atau SSL beras negara pada ketika ini berada pada paras sekitar 63 peratus, yang menjadi faktor yang menyebabkan negara masih bergantung kepada bekalan beras import.

“Keperluan kepada bekalan padi bagi pemprosesan beras domestik juga dijangka akan terus meningkat dan pada masa yang sama trend pengimportan beras dari luar negara perlu dikurangkan bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara,” katanya.

Inisiatif Program SMART SBB telah diperkenalkan awal tahun 2021dan telah disertai oleh 19 buah syarikat peneraju sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Ronald (tengah) melancarkan Beras Wangi SAJI Aroma.
Ronald (tengah) melancarkan Beras Wangi SAJI Aroma.

Tambah Ronald, MAFI berhasrat untuk membangunkan kawasan penanaman padi dengan sasaran seluas 300,000 hektar secara berperingkat, dengan menyasarkan peningkatan purata hasil per hektar nasional kepada 7 metrik tan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan meningkatkan pendapatan golongan sasar program iaitu para pesawah.

“Pada masa ini, MAFI juga sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan para penyelidik tempatan bersama-sama sokongan penuh pemain industri, untuk mendalami dan memperluas kajian-kajian saintifik berkaitan penggunaan beras wangi yang dilihat bakal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia sebagai makanan ruji.

“Usaha membangunkan penanaman padi wangi MRQ76 secara berskala besar dilihat akan melengkapkan rantaian nilai dalam subsektor padi dan beras negara,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbang 7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.

Justeru, sasaran pertumbuhan sektor agro makanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh RMK12 bakal meletakkan sektor pertanian antara penyumbang terpenting kepada KDNK negara.

“Selari dengan sasaran meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka merentasi semua subsektor agro makanan termasuk padi dan beras bagi meningkatkan pengeluaran dan memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa.

“MAFI telah pun melaksanakan beberapa program berkaitan sawah berskala besar di seluruh negara, dan sudah tiba masanya pihak swasta iaitu pemain-pemain industri turut diberikan peluang dalam memainkan peranan menerajui subsektor padi dan beras bagi menyuntik semangat dan corak baharu kepada industri makanan.

“Melalui pendekatan-pendekatan baharu yang memanfaatkan sumber modal pembiayaan swasta semaksimum mungkin, MAFI berhasrat untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta bagi menjadikan subsektor padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing,” ujar beliau.