Program Smart SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas diperluas

Mohamad (dua dari kiri) cuba menjual seekor ayam bersama sayur-sayuran dengan harga RM10 pada program Jualan Agro Madani@Tanjong di pekarangan Pragin Mall pada Ahad. - Foto Bernama
Mohamad (dua dari kiri) cuba menjual seekor ayam bersama sayur-sayuran dengan harga RM10 pada program Jualan Agro Madani@Tanjong di pekarangan Pragin Mall pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin pelaksanaan Program Smart SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas mampu meningkatkan pengeluaran padi beras tempatan dan mengurangkan import makanan ruji itu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program itu mampu meningkatkan pengeluaran padi iaitu 7 tan hingga 10 tan per hektar untuk setiap penanaman padi berbanding kira-kira 5 tan pengeluaran padi sebelum ini.

"Projek perintis itu dijalankan di Perlis membabitkan kawasan lebih 100 hektar sejak Mei lepas dan dijangka 2 September nanti hasil padi mula dituai, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan kita mendapati tanaman padi tersebut dalam keadaan baik serta elok seperti di Sekinchan, Selangor.

"Mungkin kita boleh dapat hasil hingga 10 tan padi bagi setiap hektar di situ (Perlis), ini bukan sahaja dapat menambah pendapatan pesawah, malah juga dapat tingkatkan pengeluaran padi kita dan dalam masa sama ia boleh mengurangkan import beras, itu yang kita mahu sebenarnya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani Tanjung di pekarangan Prangin Mall, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pendidikan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKM merancang untuk memperluas Program Smart SBB Mini Sekinchan MADA-Bernas itu ke beberapa negeri lain iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang dalam masa terdekat ini.

Katanya, konsep yang diperkenalkan melalui program berkenaan membabitkan pertanian pintar dengan penggunaan peralatan moden bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil padi.

Beliau berkata, komponen pertanian pintar ini juga membabitkan penggunaan jadual kerja ladang lebih tersusun, baja tambahan dan pematuhan waktu aplikasi baja serta racun yang lebih tepat bagi memastikan keberkesanan terhadap pokok-pokok padi secara optimum.

"Pelaksanaan inisiatif itu adalah dengan kerjasama sebuah syarikat peneraju SMART SBB iaitu Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang bertindak sebagai pengurus projek dan penyedia perkhidmatan serta penyeliaan penggunaan baja serta racun mengikut pertanian kontrak bersama pesawah terlibat.

"Selain itu, kita harap pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mengeluarkan lebih banyak varieti padi supaya dapat digunakan untuk penanaman menerusi program tersebut," katanya. - Bernama