Reman tiga suspek kes mayat wanita dalam gaung disambung

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SEREMBAN - Tempoh reman tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama di sini, 20 Mac lalu disambung enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, perintah reman ke atas dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang mempunyai talian persaudaraan itu dilanjutkan sehingga 4 April depan.

"Reman terhadap kesemua suspek sepatutnya tamat hari ini (Selasa) tetapi dilanjutkan enam hari lagi bermula esok (Rabu) sehingga 4 April depan.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya kepada media pada Selasa.

Dalam pada itu, Nanda berkata, polis masih meneruskan proses pencarian di kawasan belukar dekat Taman Bukit Zamrud di sini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan mayat wanita di terbabit.

Jelasnya, proses pencarian sehingga jam 9 malam Isnin tidak berhasil sebarang penemuan.

"Operasi malam tadi tamat jam 9 malam dan hari ini (Selasa) diteruskan bermula jam 9.30 pagi. Operasi pencarian seluas 200 meter radius dengan menggunakan tiga anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9).

"Pencarian membabitkan anggota dan pegawai daripada Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Bukit Aman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini polis belum mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun difahamkan ia mempunyai kaitan dengan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti 20 Mac lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan mayat wanita berkenaan oleh seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita pada 22 Mac di dua lokasi di daerah ini.

Polis klasifikasikan kes penemuan mayat wanita itu sebagai kes bunuh dan sudah mengenal pasti identiti mayat berkenaan ekoran terdapat individu yang mengaku waris kepada mangsa.