Khairuddin gesa Sapura Energy diselamatkan

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa agar Sapura Energy Bhd (SEB) iaitu syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia yang sedang mengalami tekanan kecairan diselamatkan.

Menurutnya, SEB yang dimiliki dana rakyat merupakan perniagaan strategik negara dan mempunyai 4,000 vendor utama dengan lebih separuh daripadanya adalah syarikat bumiputera bertaraf dunia selain mempunyai ramai kakitangan Melayu Islam.

“Syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan berikutan paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi seterusnya kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.

“SEB merupakan syarikat minyak dan gas kedua terbesar di dunia dengan pemegang saham utamnya ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 40 peratus, Sapura Holdings Sdn Bhd (14 peratus) dan selebihnya milikan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini turut dilapor menyatakan agar kerajaan perlu membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

Mohd Khairuddin yang merupakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menambah, vendor-vendor ini berhadapan risiko gulung tikar jika tidak mendapat bayaran yang patut diterima daripada SEB.

Beliau dalam masa sama memberikan syor bagi membantu SEB, antaranya adalah dengan memberikan syarikat itu peluang di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin.

“Hal ini kerana sebagai syarikat berdaya maju dan strategik negara dalam industri minyak dan gas, SEB wajar dipertahankan sebelum ‘dirampas’ oleh pihak-pihak rakus yang mungkin akan menjejaskan vendor dan pembekal bumiputera khususnya.

Artikel Berkaitan:

“Petronas perlu memainkan peranannya untuk tujuan pengambilalihan selaras dengan hasratnya memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sehingga RM50 bilion pada tahun ini berbanding RM30.5 bilion pada tahun kewangan 2021. Syarikat minyak negara itu juga mencatatkan keuntungan sejak 2018,” katanya.

Selain itu, antara syor lain beliau adalah Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) iaitu anak syarikat MISC Berhad yang memiliki sinergi sama dalam industri minyak dan gas mengambil alih SEB.

Mohd Khairuddin turut mengesyorkan agar PNB menswastakan SEB sementara harga penilaian sangat rendah sebelum melangsaikan hutang-hutang syarikat itu kepada vendor-vendor yang bernilai RM4 bilion diperluaskan.

“Ia memerlukan sehingga RM7 bilion untuk mengambil langkah ini.

“Sebagai aset strategik kepada PNB, instrumen pelaburan untuk membantu rakyat itu boleh meneruskan peranannya dengan lebih baik iaitu menyuntik lebih banyak dana demi untuk menyelamatkan SEB selain mencari pelabur-pelabur strategik baharu selaras dengan misinya iaitu meningkatkan kekayaan ekonomi komuniti bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, demi kemakmuran negara,” jelasnya.