Warga emas rugi RM84,776 terpedaya pelaburan saham tidak wujud

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM84,776 akibat terpedaya pelaburan saham tidak wujud.- Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM84,776 akibat terpedaya pelaburan saham tidak wujud.- Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Dijanjikan keuntungan lumayan sebanyak RM84,400 hanya dalam tempoh tiga hari mendorong seorang wanita warga emas menyertai skim pelaburan saham yang diiklankan melalui media sosial pada Selasa minggu lalu.

Malangnya, keuntungan yang dijanjikan gagal diterima malah wanita berusia 62 tahun itu terpaksa menanggung kerugian RM84,776.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, skim pelaburan itu dipercayai tidak wujud sebaliknya iklan tersebut hanya umpan 'scammer' untuk memerangkap mangsa.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pesara tertarik dengan pelaburan itu lalu segera menghubungi ejen pelaburan bernama Nor Atikah melalui aplikasi Whatsapp untuk maklumat lanjut.

"Mangsa diminta membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM1,500 untuk menyertai pelaburan saham tersebut.

"Selain bayaran pendaftaran, mangsa juga minta membuat pelbagai bayaran lain termasuk kos proses.

"Teruja dengan keuntungan dijanjikan, mangsa telah membuat 13 transaksi bayaran melalui lima akaun bank atas nama individu berbeza dalam tempoh dua hari dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM84,776," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, selepas membuat pemindahan wang, mangsa gagal menerima sebarang bayaran sebagaimana yang dijanjikan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jerantut pada Isnin untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Wazir berkata, usaha mengesan pemilik lima akaun bank yang digunakan dalam kes itu turut dijalankan bagi membantu siasatan.