Penjaja sorok jeruk dalam longkang

Kotak mengandungi jeruk buah yang diletakkan di dalam longkang ditemui sewaktu Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda pada Ahad.
Kotak mengandungi jeruk buah yang diletakkan di dalam longkang ditemui sewaktu Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Polis Johor berjaya membongkar taktik sekumpulan penjaja jeruk menyorok produk mereka di dalam longkang dan berhampiran loji kumbahan bagi mengelak penguat kuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor (KJSPT), Superintendan M Kumarasan berkata, perbuatan itu dikesan menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan di sekitar kawasan Bandar Baru Uda di sini pada 2.30 pada Ahad.

Katanya, operasi itu diketuai PT Penguatkuasa JSPT Johor, Asisten Superintendan Mohd Zainudin Abu Bakar bersama lima anggota polis dilakukan susulan aduan diterima mengenai aktiviti penjaja jalanan yang semakin berleluasa di sekitar kawasan negeri itu.

“Berdasarkan statistik dan data yang diperoleh, sebanyak 52 lokasi tumpuan penjaja jalanan dikenal pasti dan tumpuan utama adalah persimpangan lampu isyarat di laluan utama.

"Hasil operasi yang mendapati bungkusan makanan pencuci mulut itu disorok di lokasi yang tidak sepatutnya iaitu di dalam longkang dan berhampiran kawasan kumbahan bagi mengelak tindakan diambil oleh pihak penguat kuasa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau menyifatkan tindakan penjaja yang menyimpan produk makanan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memandang remeh isu kebersihan makanan serta risiko penyakit bahaya yang boleh disebarkan sekiranya ia tercemar.

“Sikap individu yang mencari jalan mudah, meraih simpati pengguna jalan raya dengan menggajikan pekerja asing menjaja jeruk tanpa mengira risiko dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna, boleh mengundang kemalangan,” katanya.

Jelas Kumarasan, aktiviti menjaja di jalan awam adalah menyalahi peraturan serta undang-undang dan mereka yang menjalankan urusan jual beli di lokasi terbabit boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) LN 166/59 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000.

Artikel Berkaitan:

"Malah di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan ( PBT), ia juga perbuatan melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan kompaun dan sita semua barang-barang yang dijaja.

"Kami mengingatkan supaya aktiviti menjaja di jalan awam ini perlu dihentikan bagi memastikan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini khususnya kemalangan maut dan secara tidak langsung mengganggu kelancaran aliran trafik di lampu isyarat," katanya.