'Keseronokan' merempit terbantut

JSPT Selangor menahan empat penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya Persekutuan pada Ahad.
JSPT Selangor menahan empat penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya Persekutuan pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Keseronokan sekumpulan penunggang motosikal melakukan lagak samseng jalanan di Lebuh Raya Persekutuan di sini, terbantut selepas dicekup polis, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, Ops Samseng Jalanan bermula 12.05 tengah malam oleh sepasukan anggota Unit Risikan Operasi JSPT Selangor bertindak menahan empat penunggang motosikal.

Menurutnya, kesemua lelaki itu didapati melakukan aksi bersaing sesama sendiri, zig-zag dan meniarap sambil meluruskan kedua-dua kaki di atas motosikal (superman).

"Keempat-empat penunggang itu kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Polis turut menyita kesemua motosikal jenis Yamaha Y16, Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, semakan mendapati penunggang terbabit bekerja sebagai pelayan restoran, operator kilang dan pengawal keselamatan.

Katanya, kesemua tangkapan berusia 18 hingga 27 tahun disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, JSPT Selangor turut mengeluarkan sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan kepada beberapa penunggang motosikal lain sepanjang operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak JSPT Selangor akan terus melaksanakan Ops Samseng Jalanan bagi membenteras aktiviti bermotosikal yang meresahkan masyarakat ketika ini," katanya.