Suri rumah terjatuh dalam sungai ditemui lemas

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan PDRM bersama JBPM Kedah. - Foto Facebook Salim Mahmood Al Hafiz
Operasi mencari dan menyelamat digerakkan PDRM bersama JBPM Kedah. - Foto Facebook Salim Mahmood Al Hafiz
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang suri rumah yang terjatuh ke dalam sungai di Tandop Pak Tin di Sungai Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas di sini, ditemui lemas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat Rossidah Yusof, 57, ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah pada jam 4.33 petang.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 30 meter dari lokasi wanita itu terjatuh.

"Sebelum itu, usaha mencari dan menyelamat digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM Kedah selepas menerima maklumat daripada suami mangsa, Sulaiman Tasu, 58.

"Kehilangan Rossidah disedari suaminya apabila menemui motosikal milik isterinya di tepi sungai itu lebih kurang jam 7.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Salim (tengah) meninjau lokasi seorang wanita terjatuh di Tandop Pak Tin di Sungai Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas pada Ahad. - Foto Facebook Salim Mahmood Al Hafiz
Salim (tengah) meninjau lokasi seorang wanita terjatuh di Tandop Pak Tin di Sungai Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas pada Ahad. - Foto Facebook Salim Mahmood Al Hafiz

Ahmad Shukri berkata, suami mangsa menemui sepasang selipar berdekatan motosikal milik isterinya ketika menghampiri kawasan tebing sungai tersebut.

Katanya, suami mangsa bagaimanapun tidak menemui isterinya lalu pulang ke rumah, namun mendapati dia tiada di kediaman menyebabkan lelaki itu kembali ke tepi sungai dan mencari wanita itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suami mangsa mengesyaki isterinya telah turun ke dalam sungai tersebut dan usaha mencari serta menyelamat kemudian digerakkan PDRM bersama JBPM.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Salim Mahmood Al Hafiz menerusi hantaran di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.