SOP kemasukan sempadan darat Thailand-Malaysia jamin kesihatan awam

Pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.
Pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.
A
A
A

SONGKHLA (Thailand) - Pembukaan semula dua pintu sempadan darat Thailand-Malaysia pada 1 April akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelancong serta penduduk tempatan sentiasa terpelihara.

Timbalan Gobenor Wilayah Songkhla, Amphon Pongsuwan berkata, bermula 1 April, dua pintu sempadan Sadao (wilayah Songkhla)-Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Wang Prachan (Satun)-Wang Kelian (Perlis) akan dibuka semula kepada pelancong yang lengkap vaksin Covid-19.

Beliau berkata, semua pelancong yang bakal memasuki melalui pintu sempadan darat di bawah program ‘Test & Go’ perlu memohon - ‘Pas Thailand’ secara dalam talian sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.

Di bawah program 'Test & Go' juga pengembara perlu membuat tempahan awal di hotel yang ditetapkan serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima.

Selain itu katanya, mereka perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$20,000.

"Pelancong yang memasuki Thailand melalui pintu masuk Sadao boleh membawa kenderaan persendirian dari Malaysia.

"Syarat-syarat ini penting kerana kesihatan awam adalah keutamaan kami,” katanya ketika dihubungi.

Bermula 1 April, Amphon berkata, pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi tidak perlu sertakan ujian Covid-19, 72 jam sebelum perjalanan ke Thailand.

Artikel Berkaitan:

Selain itu pintu sempadan darat Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai juga dijadual menerima kedatangan pelancong antarabangsa bermula 1 April.

Rakyat Malaysia menjadi kumpulan terbesar pelancong ke negara itu sebelum pandemik Covid-19. Pada 2019, Thailand mencatat hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pelawat dari Malaysia.

Untuk merancakkan industri pelancongan terutama di wilayah selatan, Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, Thailand bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membuka semula semua pintu sempadan darat dengan Malaysia menjelang 1 Mei.

Phiphat berkata, kementerian akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) untuk membuka semula lebih banyak pintu masuk antara kedua-dua negara.

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke Thailand pada 25 Februari lalu, Malaysia dan Thailand secara dasarnya bersetuju melaksanakan perjalanan bebas kuarantin udara, darat dan laut menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim ‘Test & Go’. - Bernama