Kehadiran penyokong bantu kemenangan Sepanyol

Pemain Sepanyol, Dani Olmo meraikan jaringan bersama kapten, Jordi Alba pada aksi persahabatan berkenaan. - Foto AP
Pemain Sepanyol, Dani Olmo meraikan jaringan bersama kapten, Jordi Alba pada aksi persahabatan berkenaan. - Foto AP
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique menyifatkan kehadiran penonton dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan skuad kendaliannya itu pada aksi persahabatan antarabangsa berdepan Albania di Catalonia pada Ahad.

Enrique berkata, kehadiran penonton dilihat nyata memberikan impak apabila dilihat mempengaruhi persembahan Sepanyol itu pada keseluruhan perlawanan.

Justeru menurutnya, persembahan sedemikian diharap berterusan selepas ini dalam usaha mencatatkan kejayaan berterusan pada masa akan datang.

“Kehadiran mereka (penyokong) telah berjaya mewujudkan atmosfera tersendiri di stadium dengan memastikan suasana menjadi gamat dengan sorakan.

“Perkara itu sekali gus dilihat membantu menyemarakkan semangat pemain untuk memberikan aksi terbaik dan seterusnya memenangi perlawanan berkenaan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Ferran Torres membuka jaringan buat Sepanyol pada minit ke-75, namun pemain gantian Albania, Myrto Uzuni menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1, pemain gantian, Dani Olmo muncul wira skuad La Roja apabila menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pasukan pada minit ke-90.

Sementara itu Enrique berkata, kegagalan untuk memastikan kemenangan Sepanyol ketika berdepan Albania, pasti akan menghantuinya selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun ia hanya melibatkan aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan, namun skuad La Roja itu perlu mencatatkan kemenangan bagi menggembirakan penyokong.

“Sekiranya kami gagal memenangi perlawanan ini, ia pasti akan menghantui saya untuk satu tempoh yang agak lama.

“Lagi pun, tidak ada sebarang alasan jika kami tewas pada perlawanan ini, apatah lagi kali ini stadium dipenuhi dengan kehadiran penyokong,” katanya.

Sepanyol bakal berdepan Iceland pada 29 Mac sebagai persiapan terakhir menjelang undian untuk Piala Dunia 2022 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.