Remaja terselamat serangan Christchurch cerita detik cemas

Zaid ditemani ibunya, Salwa ketika menceritakan kembali serangan yang meragut nyawa bapa dan abangnya. - Foto Mark Mitchell
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Seorang remaja Syria yang terselamat susulan serangan pengganas di masjid Christchurch, menceritakan semula detik cemas yang dilaluinya.

Hadir ke sidang media dengan berkerusi roda dan ditemani ibunya, Zaid Mustafa, 14, berkata seperti kebiasaan setiap Jumaat dia bersama bapanya Khaled Mustafa, 44, dan abangnya, Hamza,16, datang ke Masjid Al Noor bagi menunaikan solat.

Namun, 15 Mac lalu merupakan Jumaat terakhir buat bapa dan abangnya, apabila pengganas warga Australia, Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di masjid tersebut.

Ketika melarikan diri, Hamza terkena tembakan di bahagian pinggang, manakala Zaid ditembak di bahagian kaki oleh pengganas yang mengejar mereka dan jemaah lain daripada belakang.

Zaid hanya mampu terbaring dan merayu pertolongan sementara tiada suara kedengaran daripada abangnya.

Sejurus pihak polis tiba, mereka segera dibawa ke hospital, namun kemudian diberitahu kedua-dua bapa dan abangnya telah meninggal dunia.

Menurut pelajar Sekolah Tinggi Cashmere itu, ketika tembakan bermula, dia menyangka sistem bunyi di masjid tersebut mengalami kerosakan sebelum diberitahu ia adalah satu serangan.

Dalam pada itu, ibu Zaid, Salma berharap persepsi dunia terhadap orang Islam akan berubah susulan serangan terbabit.

"Dunia sering berkata orang Islam adalah pengganas, namun sekarang mereka melihat sendiri siapa pengganas sebenar," kata Salma sambil menambah dia telah kehilangan suami yang baik dan Zaid kehilangan bapa yang penyayang.

Keluarga Zaid adalah antara 50 mangsa yang maut berikutan serangan di Christchurch itu, dan jenazah Khaled dan Hamza merupakan jenazah terawal dikebumikan pada Rabu lalu. - NZ HERALD