Enam pusat pengumpulan e-waste diwujudkan di Pahang

Mahamud merasmikan Program Kesedaran e-Waste dan Majlis Pelancaran Pusat Pengumpulan e-Waste di Polisas, hari ini.
Mahamud merasmikan Program Kesedaran e-Waste dan Majlis Pelancaran Pusat Pengumpulan e-Waste di Polisas, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang membuka enam pusat pengumpulan sisa kitar semula barangan elektronik (e-Waste) di negeri ini.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, pusat pengumpulan itu ditempatkan di Bentong, Temerloh, Jerantut dan dua lagi di bandar Kuantan itu akan dikendalikan bersama syarikat Senheng Electric Sdn Bhd (Senheng).

“Ada enam kategori e-Waste dari isi rumah yang boleh dikitarkan semula seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, penghawa dingin, telefon bimbit dan komputer peribadi yang sudah tidak lagi digunakan ke pusat e-Waste disediakan.

“Jadi, orang ramai boleh berbuat demikian sekiranya terdapat barangan yang disenaraikan itu sudah tidak digunakan lagi,” katanya ketika berucap Program Kesedaran e-Waste dan Majlis Pelancaran Pusat Pengumpulan w-Waste di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Mahamud Ismail pada majlis yang turut dihadiri Timbalan Pengarah (Akademik) Polisas, Che Alias Mohd Yusof dan Timbalan Pengarah Sokongan (Akademik) Polisas, Shahrul Nizam Mohamed.



Mahamud (tengah) bersama penuntut Polisas bergambar pada Program Kesedaran e-Waste dan Majlis Pelancaran Pusat Pengumpula e-Waste di Polisas, hari ini.

Dalam pada itu, Rosli berkata, menerusi peraturan sedia ada, pihaknya berupaya menguruskan buangan e-Waste dari sektor industri secara mesra alam sekitar.

“Kempen kesedaran lebih agresif perlu dilakukan di negara ini bagi mendedahkan kepada orang ramai berhubung kaedah pelupusan sisa buangan elektronik yang betul untuk mengelak daripada berlakunya ancaman kepada alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 700,000 tan metrik e-Waste dari isi rumah, sektor perniagaan dan institusi berkaitan dihasilkan secara purata di negara ini setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

“Namun begitu dengan adanya pusat pengumpulan e-Waste seperti yang kita lancarkan di Polisas hari ini, kita harap orang ramai lebih peka dengan aspek penjagaan alam sekitar dan tidak lagi membuang barangan elektronik mereka yang sudah tidak digunakan di tempat yang tidak sepatutnya.

“Sebenarnya kita ada akta membabitkan sisa buangan e-Waste ini dan ia disenaraikan sebagai (sisa) buangan terjadual mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005,” katanya.