Zaqhwan tawan Litar Antarabangsa Chang

Zaqhwan meraikan kejayaannya memenangi kelas perdana ASB1000 Pusingan 1 ARRC 2022 di Litar Antarabangsa Chang pada Sabtu.
Zaqhwan meraikan kejayaannya memenangi kelas perdana ASB1000 Pusingan 1 ARRC 2022 di Litar Antarabangsa Chang pada Sabtu.
A
A
A

PELUMBA negara, Zaqhwan Zaidi mencipta sensasi awal apabila menjuarai Perlumbaan 1 Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada Sabtu.

Bermula di petak utama kelas perdana ASB1000 itu, Zaqhwan mengakhiri 13 pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan 21 minit 04.947 saat (s).

Dia mengatasi pencabar terdekatnya daripada pasukan Yamaha Thailand Racing Team, Anupab Sarmoon yang ketinggalan 0.524s di belakang.

Pelumba pasukan SDG Motor Sports Harc-Pro Ph, Haruki Noguchi melengkapkan pentas podium dengan berada di tempat ketiga menerusi catatan 21:05.480s.

"Pada mulanya, ia sedikit sukar mungkin disebabkan cuaca yang sangat panas dan perasaan terhadap jentera pun sedikit berbeza. Namun, dari masa ke masa saya berjaya memintas pelumba lain.

"Mungkin saya mempunyai pengalaman di sini dan mengeluarkan semua skil yang dimiliki untuk saya terus berjuang dan pada akhirnya memenangi perlumbaan," kata Zaqhwan.

Untuk rekod, kali terakhir Zaqhwan memenangi perlumbaan di pentas ARRC ialah pada Perlumbaan 1 Pusingan 7 di litar sama pada tahun 2019.

Seorang lagi pelumba negara, Md Izzat Zaidi Md Salehan turut menjulang nama Malaysia apabila menjuarai kelas Underbone 150cc.

Artikel Berkaitan:

Pelumba pasukan Pitsbike JRT OneWay itu melengkapkan Perlumbaan 1 dengan catatan 16:43.348s, sekali gus mengatasi pencabarnya dari Indonesia, Muhammad Yordan Badaru (LFN HP969 Indonesia Racing Team) yang ketinggalan 0.240s.

Rakan senegara Yordan, Wahyu Aji Trilaksana daripada ONEXOX TKKR Racing Team yang menggunakan jentera Yamaha Y15 ZR berada di tempat ketiga dengan catatan 16:43.942s.