Kerajaan pasang PoP fiber optik di 700 sekolah di Sabah

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Kerajaan sedang memasang hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) di 700 sekolah luar bandar di Sabah bagi memberi jaminan kestabilan perkhidmatan internet jalur lebar kepada penduduk di negeri ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, projek PoP fasa satu itu berupaya memastikan lebih banyak kawasan yang sebelum ini tidak memiliki capaian internet stabil menerima internet berkualiti tinggi.

"Sabah kita mendapati banyak lagi sekolah di luar bandar yang tidak ada gentian optik. Walaupun kita beri perkhidmatan internet dengan menggunakan wayarles atau satelit namun perkhidmatan begitu didapati tidak stabil dan tidak cukup kuat.

"Buktinya kita lihat dan baca berita ada orang di kawasan mereka tidak dapat line (talian) dan terpaksa panjat pokok, bukit dapat internet dan jawapan kepada permasalahan ini adalah kalau sekolah atau kawasan itu dapat dibekalkan dengan gentian optik maka perkhidmatan jalur lebar yang lebih stabil dapat diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai program bersama usahawan 'Jelajah #SayaDigital Bootcamp Batu Sapi di sini pada Sabtu.

Annuar berkata, untuk Sabah, kerajaan perlu mengeluarkan belanja besar menerusi projek PoP berganding dengan program di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) supaya dalam tempoh dua tahun negeri itu menerima internet berkualiti tinggi 4G dan sebagai persediaan awal untuk rangkaian 5G.

"Sabah, Sarawak perlu dimajukan, apabila cakap 4G, wilayah ini mesti menerima pemodenan kerana kedua-duanya adalah lubuk emas bagi negara, kebanyakan hasil daripada Sabah, Sarawak dan tiada di negeri lain.

"Bajet perlu besar untuk Sabah, Sarawak sebab kedua-dua kawasan luas, kalau bagi RM1 untuk Kelantan tidak boleh RM1 juga untuk Sabah," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga membuka tender baharu membabitkan hampir 3,000 pemasangan PoP melibatkan lokasi terpilih termasuk sekolah dan kawasan industri yang menelan belanja RM4 bilion di seluruh negara. - Bernama