Kastam perjelas isu RM19.47 bilion

A
A
A
PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan permohonan tuntutan pulang balik sebanyak RM19.47 bilion sedang dalam semakan audit agensi itu semasa Laporan Audit Negara disediakan.

JKDM melalui kenyataan media berkata, keseluruhan semakan telah dilaksanakan dan RM19.47 bilion diluluskan untuk dibuat bayaran pada akhir bulan Julai 2018.

Katanya, bagaimanapun, tiada dana yang cukup dalam tabung bayaran balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan pulang balik tersebut.

Secara amnya, JKDM berkata, jumlah tunggakan tuntutan pulang balik ini perlu dibayar memandangkan kebanyakan tuntutan ini adalah merupakan tuntutan sahih dan perlu dibuat bayaran.

Di bawah peruntukan Seksyen 54(2) Akta GST 2014 katanya, semua wang GST hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Amanah GST dan kesemua atau sebahagian daripada wang tersebut kemudiannya boleh dipindahkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan dengan kelulusan Menteri Kewangan.

“Walau bagaimanapun, semua wang kutipan GST telah dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan tanpa kelulusan Menteri Kewangan. Hanya peratusan tertentu yang tidak mencukupi dana dipindahkan ke dalam Tabung Amanah GST.

“Pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah GST masih memerlukan pemindahan hasil sebanyak RM19.2 bilion untuk membiayai bayaran balik GST yang telah atau akan diluluskan,” kata kenyataan itu hari ini.

JKDM berkata, pada 30 April 2018, Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta dan jumlah itu tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST bagimembiayai bayaran balik GST yang tertunggak.

“Oleh yang demikian, Kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak sebanyak RM19.4 bilion,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurut kenyataan itu, bayaran balik tunggakan berjumlah RM0.9 bilion adalah kepada dua syarikat milik Kerajaan seperti dinyatakan dalam media massa.

“Tuntutan itu berpunca daripada pelepasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan di bawah peruntukan Seksyen 56(3) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 bagi tuntutan cukai input yang telah dibayar oleh syarikat.

“Tidak ada sebarang kehilangan dana kerana kedua-dua syarikat adalah milikan 100 peratus Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 menjelaskan tunggakan pulang balik GST yang dilaporkan KJDM pada 5 Jun lepas berjumlah RM19.47 bilion melibatkan 122,580 Orang Kena Cukai (OKC).

Laporan itu menjelaskan sejumlah RM1.45 bilion adalah tuntutan pulang balik oleh OKC yang telah disahkan oleh pegawai JKDM tetapi masih belum dibayar oleh akauntan JKDM disebabkan oleh baki peruntukan Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik GST tidak mencukupi, pulang balik ditahan secara manual oleh JKDM dan OKC dalam proses pengauditan oleh pegawai JKDM.

Pendedahan laporan itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menterui, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menegaskan bahawa ia membuktikan dakwaan yang mengatakan kerajaan BN sebelum ini merompak RM19.2 bilion wang tuntutan balik GST adalah tidak benar.

Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Audit Negara kerana akhirnya kebenaran terbukti jua.