PM rasmi program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis

Ismail Sabri (tengah) ketika gimik perasmian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) ketika gimik perasmian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perlis 2022 yang diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini.

Beliau berkata, seperti siri jelajah pertama di Johor baru-baru ini, pelbagai program disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan Keterangkuman (Inclusivity), Kebersamaan (Common Ground) dan Kesyukuran (Contentment).

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya bersama-sama dengan Keluarga Malaysia di Perlis bagi meneruskan Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada hari ini.

"Aspirasi Keluarga Malaysia telah dirasmikan di ibu negara akhir tahun lepas dan kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan siri jelajah di peringkat negeri bermula dengan Johor awal bulan ini dan Perlis hari ini,” katanya semasa berucap merasmikan program itu di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin setiap lapisan masyarakat telahpun sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya bagi menyatupadukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar kini.

Menurut Perdana Menteri, siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis itu bertujuan meningkatkan usaha menyebarluaskan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati oleh semua.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Skuad Keluarga Malaysia ditubuhkan kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada Oktober lepas kini mempunyai kekuatan 10,000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Di sini saya menyeru agar lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri sebagai ahli Skuad Keluarga Malaysia melalui laman web Keluarga Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Bernama