Jalan darat Singapura-Malaysia lonjak pelancongan, ekonomi: MITI

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyambungan semula sepenuhnya perjalanan darat antara Malaysia dan Singapura akan memangkinkan aktiviti perniagaan bukan sahaja untuk industri pelancongan yang telah terjejas teruk, malah memberikan dorongan kuat untuk pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), langkah itu akan mempertingkatkan perdagangan luar dan pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus.

"MITI berperanan penting dalam memudahkan pergerakan tenaga kerja dan rakyat antara Malaysia dan Singapura yang terganggu akibat pandemik global,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menyedari keperluan untuk mempercepatkan pembukaan semula sempadan, Jawatankuasa Pemandu Bersama yang dipengerusikan bersama oleh MITI dengan rakan sejawatan Singapura telah ditubuhkan untuk berusaha ke arah penyambungan semula perjalanan sempadan darat secara beransur-ansur, selamat, sistematik dan mampan, tambah kenyataan itu.

MITI menjelaskan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Darat (VTL-Darat) antara Malaysia dan Singapura, yang dilancarkan pada 29 November 2021 telah memudahkan pergerakan rentas sempadan tanpa kuarantin dan lancar bagi hampir 125,000 pengembara dengan menyepadukan protokol kesihatan, keselamatan dan pelepasan imigresen.

Ia membawa kepada penyambungan semula hubungan dua hala dan ekonomi secara beransur-ansur antara Malaysia dan Singapura yang begitu penting dalam usaha memacu usaha pemulihan ekonomi, jelas MITI.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 April, pengembara yang menerima vaksinasi lengkap dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang tidak divaksin sepenuhnya dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke kedua-dua negara tanpa perlu menjalani protokol ujian dan kuarantin.

Pengembara boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua negara melalui pengangkutan darat tanpa penilaian kesihatan sempadan dan tidak lagi terhad kepada kuota terhad.

Artikel Berkaitan:

MITI menekankan bahawa VTL-Darat merupakan asas bagi usaha masa depan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan serta pemulihan ekonomi.

Ia juga telah membolehkan pemulihan sosial dengan meneruskan atau mewujudkan semula mata pencarian, serta menghubungkan kembali mereka yang terpisah dengan orang tersayang akibat pandemik sekali gus pulang ke rumah dan bertemu kembali keluarga, menurut MITI.

Kementerian itu menekankan bahawa penyambungan semula sepenuhnya perjalanan akan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Singapura ke arah pertumbuhan lebih rancak dan pemulihan ekonomi yang mampan bagi kedua-dua negara. - Bernama