MB Johor jumpa PM berkenaan pembukaan sempadan

Onn Hafiz (kiri) bertemu Ismail Sabri membincangkan berkenaan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Onn Hafiz (kiri) bertemu Ismail Sabri membincangkan berkenaan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bagi membincangkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April ini.

Onn Hafiz menerusi entri terbaharu dalam Facebook miliknya memuat naik foto pertemuan tersebut di Kuala Lumpur.

"Syukur Alhamdulillah. Saya telah berpeluang untuk berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob tentang pembukaan semula sempadan Johor-Singapura.

"Insya-ALLAH, ada berita baik berkenaan pembukaan semula sempadan Johor-Singapura dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

"Semoga setiap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya menerusi entri itu.

Onn Hafiz pada sebelah pagi Khamis, mengadakan mesyuarat penyelarasan dan meninjau persiapan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya memberitahu, republik berkenaan sedang merangka perincian berhubung pembukaan sempadan kedua-dua negara terlibat.

"Memandangkan kedua-dua negara telah mencapai kemajuan dalam menguruskan wabak Covid-19, kami bersetuju untuk terus membuka semula sempadan darat dan udara kami.

"Langkah utama ke arah hidup dengan Covid-19 ini akan membantu kedua-dua negara bangkit lebih kuat daripada krisis. Kami sedang mengusahakan perinciannya dan ianya akan diumumkan dalam masa terdekat," jelasnya.

Pada 8 Mac lalu, Ismail Sabri memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini.
Artikel Berkaitan: