Empat berputih mata ditipu scam

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS- Bahagian Siasatan Jenayah Komersl Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima empat laporan berhubung penipuan melalui talian membabitkan RM37,800.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, keempat-empat kes itu melibatkan Macau Scam; Parcel Scam, pinjaman wang tidak wujud dan tipu belian online.

Menurutnya, kesemua mangsa merupakan warga tempatan yang dipercayai telah diperdaya apabila menyerahkan wang menerusi beberapa transaksi online ke atas akaun individu yang mana, individu itu juga merupakan mangsa sindiket tersebut.

"Kes pertama membabitkan seorang kerani kilang berusia 32 tahun. Wanita itu ditipu sindiket Macau Scam selepas menuruti arahan yang diberikan menerusi telefon oleh ahli sindiket ketika berada di bank.

"Wanita berkenaan mendakwa, wang simpanannya lesap selepas menuruti arahan sindiket tersebut. Sementara itu, kes kedua melibatkan seorang pengawal keselamatan yang ditipu sindiket pinjaman tidak wujud," katanya menerusi kenyataan media tadi.

Tambahnya, mangsa yang berusia 40 tahun itu mendakwa telah membuat dua transaksi dengan jumlah keseluruhan RM1,160.

"Menurut mangsa, dia membuat transaksi itu kerana mahu membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000 selepas melihat iklan pinjaman wang tersebut melalui Facebook.

"Kes ketiga pula, ia membabitkan seorang pereka grafik berusia 28 tahun. Mangsa ditipu dalam sindiket Parcel Scam apabila telah membuat transaksi bagi mendapatkan kiriman barangan yang tersekat di Jabatan Kastam Diraja dipercayai tidak wujud," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes keempat membabitkan seorang peniaga berusia 49 tahun.

"Menurut wanita tersebut, dia telah membuat transaksi sebanyak RM1,300 ke dalam akaun RHB Bank milik suspek bagi pembelian sebuah telefon jenis iPhone XS Max daripada seorang wanita di Facebook.

"Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat mangsa mendapati taliannya telah disekat dan wanita tersebut gagal dihubungi.

"Kesemua mangsa yang terlibat dipercayai hanya berkomunikasi dengan suspek menerusi panggilan telefon namun tidak pernah bersemuka," katanya.

Noorzainy berkata, jumlah keseluruhan kerugian tersebut membabitkan enam transaksi pindahan ke dalam lima akaun bank yang berbeza dipercayai milik warga tempatan.

"Kita sedang mengesan suspek yang terlibat dalam keempat-empat kes tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.