MOTAC bincang daftar Tobtab

Nancy menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Nancy menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa berbincang dengan agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang beroperasi di luar negara untuk berdaftar di bawah Syarikat Perniagaan Pengendalian Agensi Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) bagi memudahkan urusan cukai dikenakan kepada syarikat terbabit.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebanyakan daripada agensi luar negara itu tidak mempunyai premis atau pejabat di Malaysia, justeru menyukarkan kementerian mengambil tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.

"Kebanyakan syarikat dalam talian ini tak berdaftar dengan kita. Kita berusaha untuk berbincang dengan mereka, malah ada juga yang sudah daftar dengan kita kerana mereka diminta untuk mewujudkan premis fizikal di negara kita.

"Kita memang menggalakkan mereka berdaftar dengan kita supaya mereka dapat kita cukaikan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai cukai yang boleh dikenakan terhadap syarikat pelancongan dalam talian yang menawarkan pakej pelancongan di Malaysia, namun beroperasi di luar negara.

Menurut Nancy, garis panduan TOBTAB dibangunkan MOTAC untuk melesenkan syarikat yang menawarkan pakej pelancongan di negara secara dalam talian dan ia adalah langkah awal kementerian untuk memperkukuh kawal selia aktiviti penawaran pakej pelancongan secara dalam talian.

Beliau berkata MOTAC telah mengadakan libat urus dengan beberapa agensi pelancongan dalam talian antarabangsa yang menawarkan pakej tempatan untuk mematuhi Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan berdaftar untuk beroperasi dengan memiliki lesen TOBTAB.

"Hasilnya, terdapat OTA syarikat-syarikat asing telah membuka anak syarikat di negara ini dan dilesenkan oleh MOTAC seperti Klook Travel Technology Sdn Bhd, Traveloka Sdn Bhd dan BEX Travel Malaysia Sdn Bhd," katanya.

- Bernama

Artikel Berkaitan: