Selangor catat 4,307 kes jangkitan Tibi tahun lepas

Siti Mariah
Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan sebanyak 4,307 kes jangkitan penyakit tuberkulosis (Tibi) pada tahun lalu.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan serta Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 597 kes kematian dicatatkan pada tahun sebelumnya dengan jumlah individu terhenti rawatan sebanyak 598 kes.

Katanya, justeru kerajaan Selangor komited membantu menangani dan mengawal jangkitan penyakit Tibi di negeri ini dengan memperkenalkan Program Insentif Rawatan Tibi iaitu pemberian bantuan kewangan RM800 kepada individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut pada tahun 2020.

"Pemberian insentif ini bertujuan menggalakkan pesakit untuk menyempurnakan rawatan di samping membantu menampung kos perjalanan pesakit Tibi yang berulang-alik ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Siti Mariah berkata, Program Insentif Rawatan Tibi yang menelan belanja sebanyak RM624,800 telah berjaya memberi manfaat kepada 781 individu pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor akan meneruskan Program Insentif Rawatan Tibi yang bakal memberikan manfaat kepada 1,000 rakyat di negeri ini,"katanya.

Tambah Siti Mariah, kerajaan Selangor terus mempergiatkan usaha menyampaikan maklumat mengenai Program Insentif Rawatan melalui program promosi yang pelbagai melalui platform digital dan menerusi aktiviti dilaksanakan oleh Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Maklumat lanjut berkenaan Program Rawatan Insentif Tibi boleh didapati menerusi laman sesawang https://www.selangorprihatin.com/insentifrawatantibi.

Artikel Berkaitan: