'PSM tiada peluang buat rayuan'

Abdul Halim Kader
Abdul Halim Kader
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM), tidak memiliki peluang mengemukakan sebarang rayuan setelah Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) membuat keputusan menamatkan keahlian PSM dengan badan induk sepak takraw antarabangsa tersebut.

Menurut Setiausaha Agung ISTAF yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, tindakan itu diambil setelah ISTAF menerima laporan lengkap berhubung penyingkiran PSM daripada ASTAF sebelum ini.

Malah katanya, ISTAF juga telah meneliti laporan berkenaan secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan susulan.

“Jawatankuasa Eksekutif ISTAF telah pun meneliti laporan yang dihantar oleh ASTAF sebelum ini berhubung penyingkiran PSM daripada ASTAF.

“Antara lain laporan itu turut menilai berhubung salah laku daripada bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail.

“Setelah meneliti laporan secara terperinci, Jawatankuasa Eksekutif ISTAF sebulat suara menyokong tindakan ASTAF menyingkirkan PSM dan seterusnya mengambil pendirian sama menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan ISTAF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

ASTAF sebelum ini menyingkirkan PSM daripada gabungan badan induk sepak takraw Asia pada Mei 2021 berikutan tindakan Ahmad atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF ketika itu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari 2021.

Sementara itu, Abdul Halim menegaskan ISTAF dan ASTAF merupakan dua entiti berbeza di mana ISTAF mengawal selia peringkat dunia manakala ASTAF pula di peringkat Asia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, biarpun berbeza kedua-dua badan induk sepak takraw itu mengambil keputusan yang sama untuk menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan masing-masing.

“Perbezaan kedua-kedua entiti berkenaan perlu jelas dan difahami sewajarnya tetapi kedua-duanya mengambil pendirian yang sama untuk menyingkirkan PSM,” katanya.

Sementara itu, status PSM sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dinilai semula selepas badan induk sepak takraw negara itu disingkirkan dari Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai situasi yang melanda PSM ketika ini dan akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat MOM yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

“Sebenarnya kita sedang menunggu keputusan daripada ISTAF berkenaan PSM. Jadi kita akan bawa perkara ini (penyingkiran PSM) untuk dibincangkan pada mesyuarat majlis pada Sabtu ini.

“Kita tidak mahu buat keputusan tergesa-gesa sebab perkara ini masih baharu lagi. Buat masa sekarang apa yang saya boleh katakan PSM masih ahli gabungan MOM.

“Sebab ketika ini, kita tidak boleh ambil satu persatuan baharu tapi belum bersedia untuk menjadi persatuan negara. Sebab kita nak pastikan mana-mana persatuan yang mahu jadi ahli gabungan MOM perlu ada ahli gabungan di setiap negeri dan perlu ada pelan membangunkan lagi sukan yang mereka wakili,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun PUBG mobile keempat di Sunway Pyramid pada Rabu.

Terdahulu, ISTAF memutuskan untuk menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan berkuatkuasa serta-merta.

Menerusi surat bertarikh 21 Mac dihantar Timbalan Presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif ISTAF sudah meneliti laporan dikemukakan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yang menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan pada 20 Mei tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif ISTAF berpandangan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dan PSM jelas melanggar aku janji yang dimeterai pada 14 Mac 2008

“ASTAF mengesahkan hasil siasatan Jawatankuasa Disiplinnya, dan mengambil keputusan memecat PSM berkuat kuasa pada 20 Mei 2021. Untuk rekod, tiada rayuan terhadap keputusan berkenaan diterima walaupun peringatan sudah dihantar kepada Setiausaha Agung PSM.

“Akibatnya, PSM tidak lagi menjadi ahli ASTAF, dan hubungan antara ASTAF dan PSM ditamatkan. Jawatankuasa Eksekutif ISTAF sudah menyemak laporan di atas yang dikemukakan oleh ASTAF mengenai pemecatan PSM.

“Aku janji diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Ismail dan PSM bertarikh 14 Mac 2008 dibawa secara khusus kepada perhatian Jawatankuasa Eksekutif ISTAF.

“Disebabkan perkara itu, ISTAF memutuskan menamatkan keahlian Datuk Seri Ahmad Ismail dan memecat PSM sebagai ahli gabungan ISTAF berkuat kuasa serta-merta,” tulis Boonchai dalam surat itu.

Dalam surat sama, Boonchai turut menyertakan isi kandungan aku janji ditandatangani pada 14 Mac 2008.

“Sebagai pertimbangan terhadap resolusi yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di atas, kami dengan ini secara tidak boleh ditarik balik dan tanpa syarat mengakui, menerima dan bersetuju untuk mematuhi sepenuhnya aku janji yang diberikan oleh kami dan seperti yang dinyatakan di atas.

“Sekiranya mana-mana pihak (Datuk Ahmad atau PSM) melanggar aku janji ini (atau mana-mana bahagian daripadanya) pada bila-bila masa selepas ini, kami selanjutnya mengakui dan bersetuju bahawa ISTAF berhak tanpa syarat untuk mengambil apa-apa dan semua tindakan berkenaan terhadap kami sebagai ia difikirkan munasabah,” dedahnya.