Bomba Kelantan cadang wujudkan dua balai baharu

Zainal (dua, kanan) membetulkan beret seorang anggota sewaktu memeriksa barisan kehormat Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022 di Pusat Latihan Negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, pada Rabu. - Foto Bernama
Zainal (dua, kanan) membetulkan beret seorang anggota sewaktu memeriksa barisan kehormat Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022 di Pusat Latihan Negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BACHOK - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bercadang mewujudkan dua balai bomba baharu di Kuala Balah, Jeli dan Ciku, Gua Musang, masing-masing bernilai RM2 juta hingga RM3 juta dalam tempoh terdekat.

Pengarah JBPM Kelantan Zainal Madasin berkata, dua balai bomba itu diperlukan untuk memantapkan lagi penugasan serta gerakan menyelamat terutama ketika berlakunya banjir dan kebakaran di kawasan pedalaman.

"Pihak jabatan sedang berusaha mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan kedua-dua balai bomba berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Tamat Latihan Kursus Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2022 di Pusat Latihan Negeri Balai Bomba dan Penyelamat Bachok di sini, pada Rabu.

Pada majlis itu 67 orang anggota PBB termasuk 14 dari Terengganu menerima pentauliahan masing-masing selepas tiga hari menjalani latihan selama 10 hari bermula 13 Mac lepas.

Mengulas lanjut beliau berkata cadangan mewujudkan dua balai bomba baharu itu juga dapat memberi peluang kepada lebih ramai anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai PBB memandangkan sambutan baik diterima pihaknya.

Sementara itu merujuk kepada kursus pentaulian PBB, Zainal berkata, mereka yang tamat mengikuti kursus berkenaan akan ditempatkan di balai bomba bagi membantu anggota tetap yang menjalankan tugas harian di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata mereka akan dibayar elaun RM8 sejam dan akan bertugas setiap hari, berbeza daripada sesetengah jabatan lain yang menyaksikan mereka hanya diberi tugas ketika diperlukan.

"Kursus yang diadakan buat pertama kali membabitkan Kelantan dan Terengganu ini mendapat sambutan menggalakkan. Malah 1,039 permohonan dari anak muda daripada kedua-dua negeri berkenaan diterima, dan permohonan terpaksa ditapis dengan memberi keutamaan terhadap mereka yang bergiat aktif dalam bidang sukan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ketika musim banjir pula anggota PBB mampu memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan apabila diberi tugas lebih masa. - Bernama