1,290 pasangan bercerai di Terengganu tahun lepas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) merekodkan sebanyak 1,290 kes penceraian di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, terdapat 10 punca membawa kepada penceraian tersebut yang diterima oleh Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab pasangan sama ada suami atau isteri menjadi punca utama berlakunya pembubaran perkahwinan iaitu sebanyak 343 kes diikuti lemah didikan agama (342 kes).

“Antara punca lain adalah masalah komunikasi (187), campur tangan pihak ketiga (174), masalah akhlak atau sosial (115), ekonomi (83 kes), kesihatan (24 kes), seksual (14 kes) dan masing-masing empat kes bagi budaya dan kerjaya,” katanya.

Mohd Nor
Mohd Nor

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Maliaman Kassim (Pas-Ajil) mengenai langkah kerajaan untuk membendung kes penceraian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Jelas Mohd Nor, walaupun tidak mampu menyekat berlakunya penceraian namun kerajaan prihatin dan berusaha mengawalnya dengan mengambil tindakan sewajarnya seperti mengadakan program kepada dua peringkat iaitu sebelum dan selepas perkahwinan.

Beliau berkata, menerusi kursus praperkahwinan yang disediakan, setiap bakal pengantin diberikan pendedahan awal mengenai alam rumah tangga sekali gus dapat mengurangkan permasalahan yang timbul di samping mengelak perceraian.

Artikel Berkaitan:

“Kursus pasca perkahwinan sebanyak tiga fasa turut diadakan bagi mengeratkan hubungan suami isteri di samping membina keluarga harmoni.

“Fasa pasangan sehati sejiwa disediakan bagi mereka yang sudah berkahwin antara enam hingga 10 tahun diikuti semarak kasih (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas),” katanya.