MOT, Venezuela bincang pembukaan semula sempadan udara

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula sempadan Malaysia-Venezuela adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Venezuela (INAC).

Ka Siong berkata, pertemuannya dengan pihak INAC yang berlangsung di Montevideo, Uruguay semalam juga menyentuh perjanjian Malaysia-Venezuela mengenai latihan dan lebih banyak perjanjian berkaitan perkhidmatan udara.

"Saya menerima sokongan yang amat menggalakkan hasil daripada pertemuan bersama Presiden INAC, Mejar Jeneral Juan Teixeira khususnya mengenai pembukaan semula sempadan udara kedua-dua negara dengan selamat.

"Kami juga komited menghidupkan semula perjanjian perkhidmatan udara Malaysia-Venezuela sejak tahun 1993. Ini sekali gus berupaya membuka jalan lebih banyak hubungan udara dengan Amerika Latin menerusi 'code-sharing',” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.

Ka Siong berkata, Malaysia juga telah berbincang dengan Venezuela untuk menganjurkan lebih banyak kursus latihan dan pertukaran peserta berkaitan penerbangan dalam pembangunan sumber manusia.

Katanya ia termasuk pengurusan kewangan, dan kepakaran teknikal penerbangan lain di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), khususnya yang ditawarkan oleh Akademi Penerbangan Malaysia.

Menurutnya, banyak yang boleh ditawarkan oleh Malaysia mahupun Venezuela dan kedua-dua negara akan berusaha menjalinkan kerjasama yang lebih membuahkan hasil pada masa hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: