Pogba mahu manfaat aksi berdepan Ivory Coast

Pogba (kiri), mahu kembali ke prestasi sebenar. - foto 90 minutes
Pogba (kiri), mahu kembali ke prestasi sebenar. - foto 90 minutes
A
A
A

PEMAIN Manchester United, Paul Pogba mahu memanfaatkan aksi persahabatan berdepan Ivory Coast pada 26 Mac ini, sebagai aksi pemanas badan untuknya kembali ke tahap prestasi sebenar.

Menurut pemain berusia 29 tahun itu, dia tidak berada pada tahap prestasi terbaik sejak kebelakangan ini hingga mempamerkan aksi hambar ketika beraksi terutamanya dengan Manchester United.

“Saya gembira apabila sekali lagi berpeluang beraksi untuk Perancis. Walaupun hanya untuk perlawanan persahabatan, tetapi saya akan memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada ketua jurulatih, Didier Deschamps yang masih menaruh kepercayaan terhadap saya dan saya akan pastikan dia (Deschamps), tidak akan kecewa kali lagi.

“Selain itu, saya juga berharap dapat mengembalikan semula prestasi saya ke tahap terbaik dan membantu pasukan yang saya wakili Manchester United mencatatkan kejayaan musim ini,” katanya.

Prestasi tidak menentu Pogba sejak kebelakangan ini mula mengundang kecaman daripada penyokong The Red Devils.

Malah sudah mula kedengaran suara penyokong yang mahu pemain berkenaan dilepaskan dan digantikan dengan pemain baharu yang lebih berkaliber.

Sementara itu, Pogba turut berharap agar panggilan menyertai skuad kebangsaan Perancis itu juga mampu mengubat keresahan hatinya berikutan insiden pecah rumah yang dialaminya baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Malah Pogba akui insiden berkenaan selain tersingkirnya Manchester United daripada saingan Liga Juara-Juara apabila tewas 1-2 secara aggregate kepada Atletico Madrid baru-baru ini benar-benar memberikan kesan psikologi kepadanya.

“Saya kehilangan sejumlah wang, barangan kemas dan juga medal Piala Dunia yang saya menangi.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kedua-dua anak saya dan isteri selamat,” katanya.