Azizulhasni, Cheong Min Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2019/2020

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada Cheong Min pada Majlis ASN 2019/2020 di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri). - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada Cheong Min pada Majlis ASN 2019/2020 di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMASKINI] SEPERTI diramal, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019/2020 di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Anugerah diraih Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, merupakan kali keempat selepas turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2009, 2010 dan 2017.

Lebih istimewa, Azizulhasni kini menyamai rekod dua legenda badminton, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang turut memenanginya sebanyak empat kali.

Azizulhasni mengetepikan empat calon lain - Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu)

Antara pencapaian Azizulhasni ialah meraih dua gangsa Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman dalam acara pecut dan keirin serta emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2019 dalam acara pecut di Jakarta, Indonesia.

Azizulhasni meneruskan prestasi cemerlang apabila berjaya menyambar satu emas menerusi acara pecut dan satu perak (keirin) pada ACC 2020 di Jincheon, Korea Selatan.

Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang

Atlet wusyu wanita, Tan Cheong Min pula meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan selepas menewaskan ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Artikel Berkaitan:

Cheong Min berjaya membawa pulang satu emas dalam acara nandao dan satu perak (nanquan) pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China.

Selaku pemenang anugerah Olahragarawan dan Olahragawati ASN 2019/2020, Azizulhasni dan Cheong Min membawa pulang trofi dan wang tunai RM20,000.

Sementara itu, Olahragawan Paralimpik Kebangsaan diraih atlet para memanah, S Suresh manakala skuad tenpin boling lelaki yang terdiri daripada Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek meraih Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.

Pandelela tidak pulang tangan kosong berjaya meraih Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan bersama Datuk Leong Mun Yee selepas mereka bergandingan bersama dalam acara terjun seirama wanita.

Jurulatih para memanah, Marzuki Zakaria meraih Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan dan Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan diraih Nor Hashimah Ismail bagi sukan boling padang.

Anugerah Kepimpinan Sukan diberikan kepada bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S Vegiyathuman (Kesatuan Olahraga Malaysia) dan Kamaruzaman Kadir (Persatuan Powelifting Para Malaysia).

Anugerah Khas diberikan kepada Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands, Pahang dan Kelab Penyokong Malaysia Famemas.

Majlis ASN kali ini dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.