Polis buru lelaki cuba samun kedai emas di Senai

Beng Yeow
Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Polis memburu seorang lelaki dipercayai terbabit dengan cubaan menyamun sebuah kedai emas di Senai di sini, pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada jam 3.07 petang.

“Laporan polis dibuat oleh pemilik yang memaklumkan kedai emas miliknya cuba dipecah masuk oleh seorang lelaki bersenjatakan pemukul besi.

“Suspek juga menggunakan pemukul besi untuk memecahkan cermin kaca di bahagian hadapan kedai emas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Beng Yeow berkata, ketika kejadian terdapat dua pekerja di dalam kedai, seorang daripadanya bertindak memarahi tindakan suspek dari dalam premis.

“Tindakan itu menyebabkan suspek terus melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru putih.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Artikel Berkaitan: