PSM mohon PJS batal pendaftaran MSC

No Image Caption
A
A
A
PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) memohon Pesuruhjaya Sukan (PJS) membatalkan pendaftaran Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai badan sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, permohonan menerusi peguam dilantik mewakili PSM merupakan susulan tindakan PSM yang telah memohon campur tangan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) bagi menyelesaikan isu perundangan dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

"Antaranya keabsahan keputusan penyingkiran PSM dari ASTAF dengan alasan penyingkiran PSM semata-mata kerana tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) di atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Presiden ASTAF pada ketika itu adalah tidak munasabah dan bersalahan dengan prinsip keadilan. Selain itu terdapat pelanggaran peruntukan Perlembagaan ASTAF dalam proses membuat keputusan untuk menyingkirkan PSM dari ASTAF...

"Terdapat juga kesalahan penerimaan MSC sebagai ahli gabungan ASTAF yang mana penerimaan MSC sebagai ahli gabungan ASTAF adalah bertentangan dengan kehendak Fasal 12 Perlembagaan ASTAF di mana MSC tidak dan/atau masih belum diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Sehingga hari ini, MOM cuma mengiktiraf PSM sebagai satu-satunya badan induk sukan sepak takraw negara. Oleh sebab itu, MSC tidak boleh mewakili Malaysia dalam apa jua pertandingan di peringkat antarabangsa kerana ia adalah berlawanan dengan Perlembagaan MOM," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Abidullah berkata, PSM mengambil maklum berkenaan kelulusan pendaftaran MSC oleh PJS pada 10 Februari lalu.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa pendirian PSM berhubung pendaftaran tersebut tidak dapat menyelesaikan kemelut melanda sukan sepak takraw tanah air, sebaliknya boleh mengakibatkan perpecahan dalam kalangan badan sukan sepak takraw di Malaysia yang selama ini bernaung di bawah PSM.

"Sehubungan itu, PSM telah membuat permohonan kepada PJS agar maklum balas diberikan dalam tempoh tujuh hari iaitu permohonan pertama pendaftaran MSC seperti yang diluluskan pada 10 Februari lalu dibatalkan di bawah peruntukan Seksyen 20(1)(b) Akta Pembangunan Sukan 1997 atas sebab MSC bukan badan yang diiktiraf oleh MOM untuk mewakili Malaysia bagi sukan sepak takraw ke peringkat antarabangsa;

"PSM masih diiktiraf oleh MOM sebagai badan induk bagi sukan sepak takraw di Malaysia, selain segala pertikaian perundangan di antara PSM dan ASTAF masih belum dimuktamadkan;
Artikel Berkaitan:


"Pendaftaran MSC sebagai badan sukan sepak takraw di Malaysia akan mencetuskan konflik dan mengakibatkan kecelaruan fungsi serta peranan antara MSC dan PSM; selain MSC bukan badan yang diiktiraf oleh ISTAF untuk mewakili Malaysia dalam sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Tambah Abidullah, permohonan badan induk itu juga meminta pendaftaran MSC seperti yang diluluskan pada 10 Februari lalu digantung di bawah peruntukan Seksyen 11(1)(c) Akta Pembangunan Sukan 1997 atas sebab MSC bukan badan yang diiktiraf MOM untuk mewakili Malaysia bagi sukan sepak takraw ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya, ini kerana segala pertikaian perundangan di antara PSM dan ASTAF masih belum dimuktamadkan; dan pendaftaran MSC sebelum penyelesaian pertikaian perundangan antara PSM dan ASTAF adalah dianggap sebagai pra-matang.

"PSM juga membuat permohonan pendaftaran MSC seperti yang diluluskan pada 10 Februari lalu dikenakan syarat tambahan di bawah peruntukan Seksyen 11(1)(b) Akta Pembangunan Sukan 1997 iaitu larangan/sekatan sementara terhadap MSC untuk mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa sehingga pertikaian perundangan antara PSM dan ASTAF dimuktamadkan.

"Selain larangan/sekatan sementara terhadap MSC dari menyertai mana-mana acara sukan itu di peringkat antarabangsa sehingga pertikaian perundangan antara PSM dan ASTAF dimuktamadkan.

Justeru katanya, PSM berharap perkara ini mendapat perhatian segera PJS untuk memastikan penyelesaian yang berlandaskan undang-undang dapat dilaksanakan demi pembangunan berterusan sukan sepak takraw di negara ini.